RSS

#6 Teropong Jauh: Syawal yang bebas

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

DI TENGAH kemelut Islamofobia hari ini, ramai kalangan bukan Islam, terutama di Barat menganggap Islam sebagai agama kolot, tertutup, menindas dan penuh diskriminasi. Malah, kenyataan tersebut diburukkan lagi dengan sikap dan aksi jelik sesetengah penganut Islam itu sendiri yang mentafsir ajaran agama ini mengikut fahaman peribadi sempit dan bukan atas dasar kemaslahatan umat manusia.


Justeru, tidak hairan kenapa hari ini kita dapat menyaksikan kebangkitan kelompok-kelompok ultraliberal yang begitu memuja kebebasan Barat. Sudahnya, Islam dilihat sebagai agama yang serba mengelirukan. Hakikatnya, jika kita bijak menelah dan menilai, kebebasan Islam itu sebenarnya jelas terpancar dalam setiap ritual dan perayaan agama tersebut.

Contoh paling tepat mengenai kebebasan Islam di sini ialah sambutan Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal. Pada hari tersebut, umat Islam seluruh dunia akan meraikan perayaan penuh suka cita itu dengan menggayakan pakaian tempatan dan menjamah makanan tradisi negara masing-masing.

Di negara Asia Tenggara, masyarakat Islam Malaysia, Indonesia dan Brunei serta minoriti penganut Islam di rantau berkenaan akan sibuk membeli dan menempah baju Melayu, kurung, kain pelikat dan songkok. Kaum ibu pula akan kalut menyediakan juadah kuih dan makanan tradisional seperti baulu, dodol, ketupat, lontong, sate dan aneka hidangan lain.

Berlainan pula dengan penganut Islam di Timur Tengah. Majoriti penduduknya akan keluar berhari raya dalam pakaian jubah, serban, purdah dan jilbab. Di Asia Selatan, penduduk Islam di Pakistan, Bangladesh, India, Sri Lanka dan Nepal akan memakai kurta atau shalwar, manakala kaum wanitanya, terutama gadis dan kanak-kanak perempuan akan melukis inai di tangan mereka sambil memakai gelang berwarna-warni.

Dan jangan pula terkejut atau menuduh sesat apabila melihat penganut Islam Eropah memakai sut kot dan lengkap bertali leher atau berseluar jeans sambil menyarung topi salji ketika menunaikan solat Aidilfitri.

Nabi Muhammad tidak pernah menetapkan pakaian Arab atau hiasan pohon kurma berlilit lampu sebagai syarat menyambut Aidilfitri. Pakailah apa saja asalkan ia menutup aurat. Makanlah apa saja asalkan ia daripada sumber dan proses yang halal. Bukankah betapa liberal dan bebasnya Islam itu?

Hadirnya Syawal adalah semiotik kepada keterbukaan Islam dalam meraikan kepelbagaian adat dan budaya umat manusia. Malangnya, sambutan hari kemenangan itu tidak pernah ditafsirkan sebagai simbolisme kepada kebebasan fikrah dan dakwah umat Islam hari ini ketika menangani isu-isu di luar lingkup ibadat dan amalan ritualnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: