Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di pasaran arus perdana. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..
SEBENARNYA, ada isu lebih besar perlu difikirkan selain bertegang urat berhujah mengenai polemik istilah 'pelarasan' dan 'rasionalisasi subsidi' untuk menggantikan perkataan 'kenaikan' bagi harga petrol dan beberapa barangan lain. Hakikat yang perlu diakui ialah dunia kita sekarang sedang bergelut dengan krisis tenaga yang semakin meruncing kerana fakta membuktikan petroleum bukanlah sumber galian yang boleh diperbaharui.
#4 Teropong Jauh: Rasionalisasi alam yang hilang
6:03 PM |
Bab..
Teropong Jauh
Proses pembentukan petroleum berlaku secara semula jadi membabitkan campuran kompleks hidrokarbon daripada pelbagai berat molekular dan sebatian organik lain. Ia bukan berlaku setahun dua, tetapi mengambil masa berjuta-juta tahun. Pertambahan jumlah penduduk dunia yang secara tidak langsung mempengaruhi keluk permintaan bahan-bahan keperluan berasaskan petroleum menjadikan rizab sumber bumi itu kian mengecil.
Perlu diketahui bahawa petroleum bukan sekadar dijadikan sebagai bahan bakar enjin, tetapi ia juga digunakan secara meluas untuk menghasilkan bahan pengguna lain, terutama produk kimia seperti plastik, ubat-ubatan, pelarut, baja dan racun perosak.
Benar, usaha cari gali sentiasa berterusan dan telaga-telaga minyak baru akan ditemui. Namun, proses tersebut tetap akan mencapai kepada tahap kemuncak, di mana dunia kemarau daripada sumber emas hitam itu. Akan tiba suatu masa kecanduan melampau terhadap sumber galian itu menjadi racun yang perlahan-lahan memusnahkan ekosistem manusia pada masa akan datang.
Kita sedia maklum mengenai pelbagai kajian dilakukan golongan intelektual bagi mencari sumber alternatif sebagai pengganti petroleum. Persoalannya, sejauh manakah semua kajian itu direalisasikan bersungguh-sungguh dengan mendapat sokongan kerajaan setiap negara dunia?
Di sini, kita akhirnya menyedari betapa di sebalik istilah politik dan ekonomi yang kadangkala kedengaran seperti sengaja disukarkan, itu semua sebenarnya tidak lebih daripada konflik perebutan kuasa kelompok kapitalis. Berbanding petroleum yang memberi kurnia berbilion ringgit dan menjadi tuhan penentu dominasi politik, apalah sangat yang mahu dipedulikan mengenai kewujudan tenaga-tenaga alternatif percuma itu.
Ya, dunia hari ini mengajar kita menghumban istilah pelarasan dan rasionalisasi alam kepada puak naturalis alam sekitar yang tidak ubah bagai anjing menyalak bukit.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen:
Post a Comment