
Beberapa hari lalu saya bersembang dengan Najwa tentang perkahwinan.
“Najwa, nanti bila dah dewasa nak abah dengan mama carikan calon suami atau nak cari sendiri?”
“Apalahlah Abah ni, lambat lagilah nak kawin. Not interested to discuss this topic. NEXTTTT” jawab Najwa selamba.
“Awa, nanti bila Awa dah kahwin kan, Awa nak anak berapa ya?”
“Ish Abah ni, tak habis lagi rupanya. Awa tanya abah baliklah, ha nanti Abah nak cucu berapa?”
“Abah nak ramai cucu. Nanti senang nak pilih mana satu nak wrestling dengan atok diorang. Best cucu ramai ni tau”
Mengekek kami ketawa.
Saya dan Ain berkahwin pada usia yang muda (dalam konteks zaman kami dianggap muda bila berkahwin pada usia 24). Pada usia 25 kami dikurniakan Najwa.
Indahnya dianugerahkan anak pada usia berkenaan menyebabkan saya dan Ain tidak punyai masa untuk berseronok-seronok ke sana sini melalui zaman bujang kami.
Ramai kawan-kawan yang mengusik Ain dan saya (kerana kami sebaya) semasa kami hulurkan kad jemputan perkahwinan.
“Wah, cepatnya kahwin. Amboi tak tunggu lama pun ya?”
“Ewah, terus ngap sayot aja ya? Kenal 6 bulan terus nak kahwin dah. Tak enjoy dulu Naz? Rugi tau tak enjoy”
“Baru umur 24 korang dah nak kawin? Ekonomi tak stabil lagi. Gaji baru berapa sebab baru kerja. Nanti belum apa-apa dah ada anak. Perempuan cepat nampak tua bila dah beranak pinak tau. Nanti tak sampai 30 tahun dah macam 40 an”
Semua usikan ini kami hanya balas dengan senyuman.
Disember ini usia perkahwinan kami mencecah 16 tahun. Anak-anak juga sudah ada yang remaja. Najwa sudah 15, Najman 13 dan Najmi 11 tahun.
Lucunya bila berjumpa teman-teman yang mengusik dahulu lain pula nada usikan mereka.
“Eh dah ada anak dara dah kau Naz. Dua hero nipun dah bujang dah haa. Aduhai, anak aku baru sekolah tadika anak kau pulak dah tak lama nak masuk universiti”
“Adui, ruginya kahwin lewat ni. Untung kau Ainon. Najwa dah macam adik beradik dah dengan mamanya.”
Sekali lagi kami tersenyum.
Teringat saya satu cerita yang pernah kami sembangkan di suatu petang semasa Najwa masih berusia 3 tahun
“Ain, nanti kan masa umur kita 50 tahun, Najwa dah 25 usianya. Dah keluar universiti dah. Bolehlah dia tanggung belanja adik-adiknya nanti”
“Entah-entah dia ikut jejak kita bang, habis belajar terus kahwin. Belum pencen dah bercucu dah kita agaknya.
Abang tau tak masa kat office kan, kadang-kadang we just know that we have shifted gears and moved on in our life as compared to our peers?” Balas Ain.
Tekun saya memasang telinga.
“Tadi masa kat office, sembang masa lunch dengan kawan-kawan. Ada yang sama umur dengan kita, ada yang senior.
Masa geng yang dah ada anak-anak kecil macam kita sembang pasal pampers, ruam lampin, anak dah mula merangkak, yang tumbuh gigi ada yang lagi senior usianya dari kita dan belum berkahwin bersembang perkara-perkara yang kita dah tak boleh nak relate dah tau bang?”
“Hmm..abang tak faham ni, maksud Ain?”
“Mereka ni cerita benda-benda macam erm.. nanti nak kahwin nak lelaki yang hensem, yang ada kumis, ada yang kata nak lelaki seksi ada bulu dada. Ish, dah tak boleh masuk dah kita dalam cerita-cerita macam ni.
Bila fikir kan bang, kesian sebenarnya. Apalah yang kawan-kawan kita yang belum kahwin tu cari agaknya dalam pasangan mereka kan?
Nak cari Mr Perfect agaknya. Tinggi sangat benchmarknya. Sampai sekarang masih sendiri.
Mereka ni semua sunyi tau bang?. Tak ada pasangan yang nak kongsi kegembiraan, sedih, mengadu, kesian kan?”
Saya terdiam seketika cuba menyusun ayat
“ Mana ada manusia sempurna kan Ain? Semua kita ni ada kekurangan. Yang sempurna tu Allah SWT.
Setiap pasangan tu memang ditakdirkan jodohnya saling melengkapi. Kurang si lelaki ditampung isteri. Macam tu jugak sebaliknya. Macam kita ni kan saling melengkapi kan?”
“Maksud abang?” Desak Ain inginkan kepastian
“Macam kita nilah. Ain suka dengar, abang yang banyak cakap. Abang tak pandai matematik, Ain ada degree dalam matematik. Kalau makan ayam goreng, Abang tak suka peha ayam tapi sukakan bahagian kepak dan dada. Ain pulak sebaliknya.
Kan saling melengkapi tu.
Sepatutnya kita ni memang kena memilih tapi harus bertempat. Kita boleh letak senarai KPI yang kita kehendaki dari pasangan kita tu tapi tak bolehlah kesemua KPInya nak dipenuhi.
Kalau ada katalah sepuluh perkara yang kita nak dari pasangan kita. Janganlah nak dapatkan kesemua sepuluh kriteria baru nak kahwin. Dapat tujuh jadilah dulu. Tiga lagi kriteria tu kita binalah dalam alam rumahtangga.
We have to be practical as we do not live in an ideal world”. Jelas saya
Ain mengangguk.
“Wah pandai abang matematik tu. Dah siap pakai percentage dan nisbah bagai tu ha” Usik Ain.
Berderai ketawa kami berdua.
Apa yang kita tunggu sebenarnya? Kenapa jodoh kita tak kunjung tiba?
Saya nak kongsikan sedikit apa yang saya temui di dalam buku yang di hadiahkan sepasang teman rapat saya.
Buku ini bertajuk Inspirasi cinta terhebat. Intailah mukasurat 3 seksyen tengah bertajuk
“Ya Allah, Aku tak ingin sendiri – Kenapa jodoh tak kunjung datang?”
Persoalan yang saya tanyakan tadi disusul soalan dalam buku yang ditulis Burhan Sodiq dengan bersahaja.
Bila ditanya tentang jodoh apa yang kita lakukan sebenarnya dalam menangani hal jodoh?
Adakah kita memilih menunggu dan terus menunggu, sambil berharap penuh cemas?
Atau adakah kita akan melakukan ‘sesuatu’, agar jodoh itu datang menyapa?
Soal jodoh ini bukan soal enteng kan?
Saya pasti perasaan seseorang yang menanti jodohnya datang tapi tak juga kunjung tiba akan bercampur baur perasaan cemas, kecewa dan lambat laun perasaan ini menjadi tekanan yang berlarutan apabila orang sekeliling mula mendesak dan menyakitkan dengan soalan-soalan sensitive yang bertubi-tubi.
Bila kita ke kenduri kendara contohnya. Sosek-sosek orang kampung bertanya pada ibu dan ayah kita;
“Ish anak kamu tu lawa orangnya, berpendidikan pulak, apa lagi yang dicarinya tu bang/kak? Atau
Lewat sangat usianya anak abang tu dah tu, takda calon lagi ke?”
Kalau sekali dua mungkin tahan cuping telinga, tapi kalau selalu? Saya ada teman yang masih solo bercerita yang dia serik pulang ke kenduri kendara sanak saudara kerana serik diaju soalan-soalan sebegini.
Mungkin ramai yang masih seorang di luar sana memberi berbagai jawapan pada rasional kenapa masih membujang.
Barangkali ada yang mengatakan belum ada calon yang sesuai, ekonomi belum stabil, masih belajar lagi, takut terkongkong dan sebagainya. Terpulanglah.
Suka saya kongsikan konteks murah rezeki selepas berumahtangga mengikut Al-Quran yang disebutkan di dalam Surah An-Nur ayat 32;
“Dan nikahilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (menikah) daripada hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi maha mengetahui”
dan mafhum hadis riwayat Imam Dailami dalam Musuad-al-Firdaus ;
“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)”
Sebab itulah orang tua-tua kata jangan risau lepas berkahwin dan punyai anak tak cukup bagi anak-anak makan, adalah ‘rezeki anak’ tu nanti.
Pernah dengar kan begitu?
Pada sahabat-sahabat lelaki yang masih bujang ketahuilah bahawa terdapat tiga kunci kebahagiaan suami dalam isteri yang solehah iaitu;
1. Jika dipandang membuat semakin sayang,
2. Jika kamu pergi membuat tenang kerana dapat menjaga kehormatannya dan;
3. Taat pada suami
Pilihlah bakal isteri kerana agamanya kerana Imam Tabrani meriwayatkan dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasullullah S.A.W pernah bersabda;
“Barangsiapa yang menikahi wanita kerana kehormatannya (jawatannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kehinaan; barangsiapa yang menikah kerana hartanya, maka Allah SWT tidak akan menambah kecuali kefakiran; barang siapa menikahi wanita kerana hasab (kemuliaannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kerendahannya. Dan barangsiapa yang menikahi wanita kerana ingin menutupi (kehormatan) matanya, membentengi farji (kemaluannya) dan mempererat silaturrahim, Maka Allah SWT akan memberi barakah-Nya kepada suami isteri tersebut.”
Janganlah kita jadikan alasan pernah kecewa, inginkan perkahwinan yang glamour umpama puteri raja, tak mampu kerana mas kahwin dan hantarannya mahal, cacat anggota dan rasa rendah diri, tidak boleh kahwin tanpa bercinta dahulu, langkah bendul dan sebagainya sebagai halangan untuk berumahtangga.
Moga yang masih mencari bertemu yang dihajati dan segera membina istana bahagia.
InsyaAllah..
Kenapa Jodoh Tak Kunjung Tiba?
Mengapa Tudung Labuh?
“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?”
Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.
Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.
Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.
Yang Tertutup Itu Indah
Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”
Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.
Istimewa Bertudung Labuh
Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.
Dikejar Tebuan Tanah
Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.
Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.
Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.
Terlindung daripada Mata Mat Rempit
Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.
Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.
Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.
Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.
Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.
“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.
Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.
Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!
Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!
Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut
Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.
Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.
Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?
Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.
Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.
Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.
Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat
Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.
.............................................
Sejak kecil, Abah sangat melarang saya memakai tudung tiga segi yang labuhnya sedikit cuma dari bahu. Tapi kerana biah saya di MRSM yang mewajahkan tudung labuh sebagai jumud, saya protes.
Saya mula bertudung labuh dengan kerelaan sendiri sejak mendaftarkan diri ke Matrikulasi pada 15 Mei 2006. Dimulakan dengan tudung empat segi bidang 60.
Kenapa saya melabuhkan tudung?
Saya takut melihat iklan-iklan dan tayangan di televisyen tentang mahasiswi di IPT. Pakaian ketat, pergaulan bebas. Itulah bayangan saya tentang universiti.
Jesteru, saya mahu tudung menjadi perisai diri, secara tidak langsung sebagai tanda 'Hey, treat me like a proper muslimah!'
Tudung Sebagai Pelindung
Boleh kata setiap hujung minggu saya perlu keluar ke negeri-negeri lain sewaktu menuntut dulu. Pasti, kenderaan awam seperti bas dan keretapi akan saya guna.
Tudung labuh bulat akan saya kenakan bila bermusafir dengan kenderaan awam. Ia banyak menyelamatkan saya.
Dalam bas atau keretapi, selalunya lelaki tak akan duduk disebelah saya. Yang peliknya, dia boleh selamba duduk dengan perempuan lain. Mungkin dia segan pada penampilan saya. Alhamdulillah, selamat.
Kalau naik keretapi waktu puncak di KL Sentral atau lebih lagi di Bank Negara, saya tak risau dihimpit lelaki. Ramai yang akan beri ruang kepada saya, dan mereka tak berani untuk merapat. Alhamdulillah, selamat!
Tudung Labuh Sebagai Pemberi Hormat
Percaya atau tidak, saya dan rakan-rakan pernah diberi tempat duduk di dalam keretapi, hanya kerana kami bertudung labuh dan berjubah, sedangkan lebih ramai manusia sedang berdiri.
Bila membeli belah, peniaga akan menjaga tangan mereka sewaktu menghulurkan wang baki. Lucu juga, tapi itulah tandanya dia hormat.
Tudung Labuh Sebagai Warden
Satu hal saya perasan, pakaian akan mengawal tingkah laku saya. Bila saya memakai T-Shirt dan seluar, saya suka berlagak lelaki. Hatta di dalam rumah sekali pun.
Tapi bila memaki tudung labuh, berjubah atau baju kurung, saya rasa lebih feminin. Langkah saya lebih terjaga, tidak melompat ke sana ke mari.
Ya, tidak dinafikan ada sahaja sebilangan bertudung labuh yang akhlaqnya lebih teruk dari yang tidak bertudung. Tapi sekurangnya dia berani untuk bermujahadah dengan persepsi orang terhadapnya, sekurangnya dia telah selesai bahagian auratnya.
Moga tindak tanduk kita semuanya digerakkan oleh Allah.
Asam Garam
Bismillahirahmanirrahim..
Hidup ni kekadang kita di atas dan kekadang kita di bawah. Walaupun kita buat baik kepada orang, tak semestinya orang tu akan balas kebaikan kita dan lebih menyedihkan kalau keburukan pula yang dibalasnya. Biarlah orang buat buruk pada kita tapi kita jangan sesekali buat buruk kepada orang lain kerana kita sementara saja di dunia ini.
Manusia ni punya pelbagai ragam. Semasa susah bukan main minta tolong tapi bila dah senang kita dilupakan. Depan kita bukan main baik tapi di belakang kita sebaliknya. Bila dah lama tak jumpa, sampai ada yang dah tak kenal kita. Lagi satu, jangan sesuka hati menabur janji kalau tak mampu tunaikan kerana mungkir janji tu salah satu ciri orang munafik. Nauzubillahiminzalik..
Apabila kita hulur bantuan dalam bentuk kewangan dan selepas sekian tahun kita minta balik duit tu, sangkaan buruk pula yang kita terima. Telefon tak diangkat, mesej tidak dibalas. Susah sangatkah nak angkat panggilan telefon atau balas mesej yang diterima? Sehinggakan terpaksa hantar mesej berbaur ancaman, barulah mesej dibalas. Itupun dibalas dengan sangkaan buruk. Dituduh kita macam-macam pula. Apakah salah kita? Manusia ni memang punya 1001 jenis ragam yang sukar kita faham. Benar kata pepatah, "don't judge the book by it's cover".
'Ikhlas Tapi Wajib'
Isu ni bukanlah besar sangat kalau nak dibandingkan dengan isu 'along' atau isu pilihan raya Manek Urai yang sedang hangat. Tapi perumpamaan ni macam dah disalahgunakan sesuka hati. Kalau nak ikutkan 'ikhlas tapi wajib' ni boleh jadi tak ikhlas. Kalau 'ikhlas' kenalah beri dengan suka rela dan bukan 'wajib'. Tidak boleh tidak bayar. Tapi kalau 'wajib' dan 'ikhlas' tu samalah macam kena pakai 'seat belt' untuk elak dari kena saman. Kalau tak pakai kena saman. Maknanya 'wajib' pakai dan kenalah 'ikhlas'.
Jacko yang Super Signifikan
Ada juga yang hairan kenapa dikecohkan sangat pakcik Jacko tu meninggal.
Ok. Sebelum tu sebagai seorang manusia, sepatutnya kematian pakcik Jacko yang mengejut itu disambut dengan ucap innalillahiwainnalillahirojiun. Kepada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Apabila ada saja kematian, kemalangan, musibah dan kecelakaan sepatutnya disambut dengan insaf. Ia tanda betapa kerdilnya kita, manusia yang bersifat rapuh dan lemah. Ketika kita hidup rupa kita berbeza. Tetapi apabila kita mati rupa kita sama saja, mata tertutup dengan wajah tanpa perasaan.
Berbalik kepada persoalan asal. Kenapa dikecohkan sangat pakcik Jacko tu meninggal.
Jacko adalah ikon budaya pop dunia. Mungkin ada yang skeptikal mengatakan apa yang berlaku adalah perancangan Barat dan agenda-agenda tertentu. Namun benci ataupun suka, kita terpaksa akui pengaruh yang ditinggalkan pakcik Jacko ni. Berlapang-lapang dadalah kita. Kata tok guru aku, sebagai manusia kita berhak saja memuja sesiapa saja tetapi jangan sampai bertaklid. Kecuali manusia serba sempurna, Rasulullah.
Sedar tak sedar antara legasi begitu berpengaruh yang ditinggalkan ialah tarian moonwalk dan berdansa mengikut beat lagu sambil sesekali memegang 'anu' sendiri. Oh yeahh..






