RSS

#5 Teropong Jauh: Sebulan yang penuh kemanusiaan

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

RAMADAN sekali lagi hadir menemui umat Muhammad seluruh dunia. Pada bulan ini, semua penganut Islam dari segenap penjuru benua sama-sama berpuasa dengan menahan diri daripada makan dan minum serta nafsu syahwat, termasuk perkara lain yang membatalkannya.

Bagi saudara kita di Palestin yang lahir pada 1948, serentak dengan insiden Nakba, puasa tahun ini bermakna sudah 52 tahun mereka terpenjara di bawah belenggu penjajahan rejim Zionis Israel.

Sejak mula memahami kronologi penjarahan rejim Yahudi ke atas tanah air Palestin itu, saya selalu menganggap 1948 sebagai penanda aras kepada tahun kemerdekaan dunia yang bebas daripada segala bentuk penjajahan.

Dunia sepatutnya melihat konflik di Palestin sebagai isu kemanusiaan sejagat dan bukan hanya kemelut yang melanda komuniti Islam saja. Justeru, kegagalan membebaskan bumi Palestin boleh saja disifatkan sebagai celaan terhadap kemanusiaan itu sendiri, juga kutukan terhadap mana-mana kerajaan dunia yang mengaku kononnya berkuasa dan berpengaruh.

Bagi umat Islam, Ramadan sebenarnya lebih daripada bulan yang mewajibkan kita berpuasa kerana roh bulan suci ini sebenarnya lebih besar daripada sekadar lapar dan dahaga serta menahan nafsu syahwat dalam diri. Selain Haji, puasa ketika Ramadan adalah amalan kerohanian yang menjadi simbolisme kepada perpaduan dan kesamarataan ummah.
Bukankah ini menunjukkan betapa Ramadan hadir dengan misi kemanusiaan yang sangat besar?

Ini dibuktikan dengan perlakuan amalan ritual yang tinggi nilai kemanusiaannya sepanjang bulan ini menerusi kewajipan berpuasa, menahan syahwat dan memberi zakat. Dalam konteks lebih luas, kita pasti akan dapat mengesan sesungguhnya Ramadan sudah lama menjadi guru yang mengajar kita mengenai nilai kemanusiaan.

Puasa bermakna merasai keperitan saudara lain, menahan nafsu syahwat bererti mengelak diri daripada melakukan penindasan dan peperangan, manakala pemberian zakat pula adalah simbolik kepada tanggungjawab mandatori ke atas golongan berkuasa dan berkemampuan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

Jika roh Ramadan ini benar-benar dihayati, apakah mustahil kita melihat bumi Palestin dibebaskan? Apakah masih ada negara-negara Islam hidup dalam kemelaratan dan Masih berperang lagikah kita sesama saudara seagama?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 komen:

Anonymous said...

"Jika roh Ramadan ini benar-benar dihayati, apakah mustahil kita melihat bumi Palestin dibebaskan? Apakah masih ada negara-negara Islam hidup dalam kemelaratan dan Masih berperang lagikah kita sesama saudara seagama?"

insyaAllah..ia pasti akan berakhir jua..pasti!

Anonymous said...

rindukan suasana Ramadan, rindu nak berterawih tapi terawih da banyak tahun xcukup. xconsistent. sedih!! huhuu..