Dari zaman belajar di universiti swasta sampailah ke alam pekerjaan, pejam celik sudah dekat 10 tahun masa berlalu. Bila dah habis belajar, kerja duduk sekali. Dari lima tinggal empat orang, dari empat tinggal tiga dan sekarang dari tiga tinggallah berdua saja kat Rumah Puaka tu. Pergi makan sama, lepak sama dan merayap pun sama-sama. Masing-masing sudah pindah rumah kelamin. Tinggal bertiga ok lagi, tapi bila sudah tinggal berdua duk serumah ni rasa suram sunyi saja. Rasa kehilangan. Lumrah kehidupan.. Biasalahh...
Dah pukul 2 pagi ni, comfirm Jarul tak balik. Makan megi sambil layan Masterchef carer jugak...
Sebuah kehilangan
5 jenis lelaki yang masih single
Workaholic - Bagi lelaki yang menjadikan pekerjaan sebagai keutamaan dalam kehidupan, mereka pasti akan menganggap hubungan adalah halangan kerana perlu memperuntukkan masa atau tenaga terhadap pasangan. Kemungkinan juga mereka menetapkan tujuan bekerja adalah untuk diri sendiri. Selain itu, ada sesetengah lelaki juga menetapkan beberapa matlamat yang hendak dicapai dalam kehidupan mereka. Soal hubungan, mereka ketepikan buat sementara kerana ingin memberi 100 peratus fokus mengejar matlamat yang diimpikan. Ini membuatkan mereka memilih kehidupan bersendirian buat sementara waktu.
Kaki Party - Kebiasaannya, lelaki yang suka berfoya-foya lebih gemar single berbanding mempunyai hubungan. Ini bertujuan mengelakkan mereka daripada terikat dengan mana-mana wanita. Kemungkinan juga mereka menetapkan satu peringkat umur untuk mereka menjalinkan hubungan yang betul-betul serius. Sebelum sampai ke peringkat umur ditetapkan, mereka lebih gembira menghabiskan masa bersama rakan-rakan sebelum memberi komitmen terhadap perhubungan.
Lelaki Pemalu - Seorang lelaki pemalu juga sukar dapat pasangan. Ini kerana, mengenali seseorang wanita perlu dimulakan dengan perbualan. Sekiranya seseorang lelaki takut berbual, agak mustahil mereka mengenali wanita itu dengan lebih rapat. Lelaki seharusnya lebih yakin untuk berbual dengan wanita. Jika sikap malu terus membelenggu diri, pasti lelaki ini terus single. Anda perlu bijak mengeluarkan diri daripada sifat malu. Sifat malu juga penting untuk menilai adab atau tingkah laku seseorang, tetapi ia haruslah bertempat dan sesuai dengan keadaan.
Terlalu Memilih - Apakah keutamaan sesuatu hubungan itu untuk mencari kesempurnaan atau saling melengkapi kelemahan masing-masing? Ia terpulang kepada individu untuk membuat pilihan. Tetapi perlu diingatkan, untuk mencari sesuatu kesempurnaan itu adalah agak mustahil. Lelaki yang menetapkan terlalu banyak kriteria yang perlu dipenuhi oleh seseorang wanita sebelum menjadi pasangan mereka, agak sukar mendapat pasangan. Ini kerana mereka sendiri meletakkan terlalu banyak halangan untuk seseorang menjadi pasangan mereka.
Selesa Kehidupan Sendirian - Ada juga sesetengah lelaki yang sengaja tidak mahu mencari pasangan. Ini kerana mereka selesa dengan kehidupan yang dilalui sekarang. Mungkin juga mereka hendak menikmati kehidupan secara bersendirian dahulu sebelum mereka berkongsi hidup bersama pasangan. Kebiasaannya, lelaki seperti ini bijak memilih pasangan yang mereka rasakan sesuai untuk mereka kerana mereka tidak gelojoh dalam memilih pasangan.
5 jenis lelaki yang masih single
#14 Teropong Jauh: Dunia atas nama manusia
MENGIKUT kalendar Gregorian, 2011 adalah tahun ke-11 bagi milenium ketiga dan dekad kedua dalam abad-21. Jika mengambil kira kalendar Hijrah, sudah lebih 1,400 tahun nabi junjungan, Muhammad dan sahabatnya berhijrah untuk membuka lembaran baru Islam yang kini menjadi agama dianuti lebih satu bilion umat manusia.
Sepanjang tempoh lebih 2000 tahun lalu, dunia menyaksikan bermacam-macam rentetan sejarah ketamadunan manusia yang diwarnai pelbagai episod suka dan duka.
Indur Goklany dalam bukunya, 'The Improving State of the World' berhujah bahawa kebebasan ekonomi dan kemajuan teknologi yang dikecapi manusia sejak zaman Renaissance di Florence, Itali sudah banyak mengubah dunia ini menjadi lebih baik dalam segenap perkara.
Peranan wanita dan kanak-kanak, penstrukturan semula tempat kerja, penghapusan sistem kasta dan kelas, kebangkitan populasi kelas menengah dan pembangunan institusi serta organisasi baru.
Betul apa dikatakan Goklany dan kita harus mengakui secara keseluruhannya, manusia kini hidup lebih lama, sihat dan selesa di atas muka bumi hari ini.
Justeru, tidak hairan mengapa populasi penduduk dunia meningkat mendadak dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun kerana ia berkadar arus dengan kemakmuran dan kemodenan ketamadunan yang dicapai manusia. Namun, apakah kita dapat menafikan kebejatan yang sedang melanda bumi yang dihuni kita sekarang?
Walaupun tidak terbilang pencapaian dan kegemilangan di segi sains dan teknologi, termasuk sosial dan budaya dicatatkan manusia. Namun hakikatnya, manusia masih gagal mengelak diri daripada peperangan, keganasan, penindasan dan kebuluran.
Buka mata dan lihatlah betapa ramai umat manusia masih menderita yang mana dunia sudah tidak lagi menjadi tempat tinggal aman untuk mereka menikmati kehidupan lebih baik. Sejak manusia mempetakkan kawasan dihuni majoriti komuniti masing-masing dalam sempadan bernama negara, fahaman individualistik semakin menular.
Dibandingkan dengan sistem feudal lama, yang mengkelaskan manusia mengikut hierarki, darjat dan keturunan, terma feudal moden hari ini juga tidak kurang buruknya. Golongan bawahan atau lemah masih lagi ditindas kelompok berkuasa untuk kepentingan peribadi demi menjaga daulah. Masing-masing mahu menjadi numero uno!
Lihat saja bagaimana blok dunia ketiga dan negara mundur diperkotak-katikkan kelompok kecil negara maju yang punya kuasa dan kekayaan. Agama bernama demokrasi dan ekonomi bebas dijadikan wahyu untuk menetapkan bagaimana sesuatu sistem ekonomi sesebuah negara itu patut dilaksanakan. Hakikatnya, hasil mahsul sesebuah negara itulah yang diburu.
Bumi, yang dulunya indah permai dan dihampari kehijauan alam dan kepelbagaian hidupan lain, kini semakin terpokah dek kerakusan nafsu manusia. Atas nama pembangunan yang disinonimkan dengan kemakmuran, tanah-tanah pertanian, gunung-ganang dan hutan hijau dimusnahkan. Sumber-sumber percuma itu diletakkan harga dan dilelongkan kepada mereka yang berselimutkan emas.
Tanpa sedar, manusia-manusia yang gagal bersaing atau mereka yang hanya mahu menikmati hidup ini seadanya, dihambat menghuni ceruk kota yang kotor atau menginap di sudut pedalaman mundur. Inikah kemakmuran yang dibangunkan manusia bertamadun hari ini?
Saya, ketika menulis artikel ini, berada di tengah-tengah hutan batu yang dikelilingi pokok-pokok konkrit. Ah, kebetulan pula saya dihiburkan dengan 'Imagine', karya agung si genius muzik dari tanah Inggeris, John Lennon. Bagaimana kalau dunia ini tiada negara?
#13 Teropong Jauh: Ando, mi segera dan falsafah
BERBANDING bintang pop, Justin Bieber dan Lady Gaga, tidak ramai yang kenal Momofuku Ando, walhal dalam dunia moden hari ini adalah mustahil menemukan manusia yang tidak pernah menjamah produk makanan legasinya, mi segera. Mungkin dalam kolum kecil ini saya dapat membawa anda mengenali siapa manusia berjiwa besar ini.
Ando dilahirkan dengan nama Wu Pai-fu pada 1910 di Chiayi, Taiwan, yang ketika itu menjadi sebahagian daripada Empayar Jepun. Ini bermakna beliau bukanlah berdarah Jepun tulen, sama seperti penduduk Jawa yang berhijrah mencari rezeki di Tanah Melayu, tetapi masih dikira serumpun.
Ibu bapanya meninggal dunia ketika kecil dan beliau dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Tainan, Taiwan. Perniagaan tekstil yang diusahakan datuk dan neneknya memberi ilham kepada beliau, yang ketika itu baru berusia 22 tahun, untuk memulakan bisnes dalam bidang sama di Eirakucho, Taipei.
Pada 1933, Ando berhijrah ke Osaka, Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua, beliau mendapat kerakyatan Jepun. Beliau kemudian memutuskan menetap di negara Matahari Terbit itu selepas diterima melanjutkan pengajian di Universiti Ritsumeikan.
Masalah timbul tidak lama selepas itu apabila syarikatnya diisytiharkan bangkrap dan beliau dipenjarakan dua tahun kerana cuba mengelak membayar cukai. Namun, selepas dibebaskan, beliau bangkit semula meneruskan perniagaan yang sudah menjadi darah dagingnya dengan membuka syarikat dikenali sebagai Nissin. Kali ini beliau beralih kepada perniagaan menjual garam.
Ketika Ando menjalankan perniagaan garamnya itu, Jepun berada dalam zaman kemelesetan ekonomi akibat kempen perang dilancarkan rejim Meiji. Krisis kekurangan makanan di Jepun berada dalam keadaan sangat kritikal. Sumber makanan asas, seperti beras yang dijarah ketika menawan China dan negara Asia Tenggara ketika perang lalu nyata tidak cukup menampung keperluan harian rakyat Jepun.
Sebagai langkah mengatasi krisis berkenaan, kerajaan Jepun melancarkan kempen menggalakkan rakyat makan roti yang dibekalkan Amerika Syarikat. Kempen tersebut nyata mengguris hati Ando kerana baginya atas alasan apa sekalipun roti tidak sepatutnya dijadikan alternatif menggantikan makanan tradisi rakyat Jepun, iaitu mi dan beliau melihat ia sebagai satu bentuk penjajahan Barat terhadap penduduk negaranya.
Reaksi daripada kempen itu, Ando bangkit mencipta mi segera dengan memegang falsafah yang cukup murni, 'Peace will come to the world when the people have enough to eat' (dunia akan aman apabila manusia cukup makan).
Klimaksnya, tepat 25 Ogos 1958, ketika berusia 48 tahun dan selepas menjalani beberapa fasa 'cuba dan salah' untuk menghasilkan mi dengan kaedah cepat dimasak, Ando akhirnya berjaya memasarkan pakej mi segera perasa ayam, dipanggil Chikin Ramen pada harga 35 yen saja, tiga kali lebih murah berbanding semangkuk mi yang biasa dijual di mana-mana restoran Jepun ketika itu.
Di sini, apakah kita sedar falsafah sebenar mi segera yang digagaskan Ando bukanlah 'mi untuk segera mati'? Sebaliknya, bertujuan mengatasi masalah kebuluran di negaranya sendiri dengan mengekal nilai patriotisme bangsa yang ada dalam satu-satu makanan tradisi.
Kawan, lihatlah, betapa legasi jujur ditinggalkan Ando itu kekal zaman berzaman. Makanan itulah menjadi penyelamat golongan marhaen yang kesempitan wang untuk makan dan apabila bencana menimpa, selain mi segera, apakah ada makanan lain yang paling mudah disumbangkan?
Dan saya tertanya-tanya, bilakah nasi lemak kita mampu mengamankan dunia ketika jumlah bilis dan telur dalam sepinggan nasi semakin mengecil kuantitinya?
#12 Teropong Jauh: Seks dan orang kita
DALAM masyarakat Melayu, seks adalah kata tabu. Pantang diucap dan diperkatakan secara terbuka. Dulu, saya dan juga rakan-rakan, yang lahir era 80-an, biasanya akan belajar pendidikan seks melalui rakan-rakan dan bahan bacaan, sama ada bergambar atau bertulis. Semuanya dilakukan secara cakap siang pandang-pandang dan cakap malam dengar-dengar.
Tetapi, anak muda zaman sekarang lebih bertuah kerana ada profesor 'Google' di universiti Internet yang membantu mereka memberi kuliah tentang pendidikan seks dengan lebih pantas. Cuma klik saja tetikus atau butang 'Enter', maka terpaparlah segala maklumat yang tepat, separa tepat dan tidak tepat.
Namun, dek gejolak nafsu remaja, proses pembelajaran sehala bersama profesor maya itu biasanya menyimpang. Daripada satu kata kunci saja, bertulis seks, mereka senang saja berpoya-poya ke laman-laman web porno. Sudahnya, seks digambarkan sesuatu yang lucah dan berkisar tentang persoalan syahwat atau nafsu berkelamin semata-mata.
Persoalannya, apakah wajar anak-anak muda kita dibiarkan berguru dengan profesor Google saja? Walhal, seks itu adalah sebahagian daripada fungsi anatomi tubuh manusia. Ia dicetuskan kelenjar hormon yang dirangsang secara fizikal sama ada menerusi pandangan, sentuhan dan apa saja faktor fizikal lain.
Apa yang menjadi isu di sini ialah bagaimana menjelaskan kepada anak-anak muda kita, termasuk anak kecil kita mengenai perihal mengawal kehendak seksual mereka. Pakar psikologi seperti Sigmund Freud mengaitkan aspek seksual sebagai libido, iaitu kehendak seksual berupa tenaga yang dipanggil id.
Menurutnya, id adalah struktur bawah sedar terbesar dalam jiwa atau psyche manusia, di mana ia mampu menyebabkan konflik dengan sikap seseorang individu. Justeru, sekatan melampau terhadap kehendak id jika gagal dikekang akan menyebabkan berlakunya ledakan psikologi yang mampu mengheret kepada gejala sosial dan jenayah.
Kita barangkali hairan melihat banyak kes yang dipaparkan di media mengenai serangan atau pencabulan seksual. Rata-ratanya dilakukan oleh golongan kelas bawah yang kita sedia maklum mengenai ketidakupayaan mereka mendapat akses tepat mengenai seks. Lebih menyedihkan, si pemangsa bukannya calang-calang orang melainkan individu yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga anak dan jagaan mereka. Sesetengahnya berstatus orang-orang agama.
Kenapa ini berlaku? Dan kita, sama seperti manusia tipikal lain, biasanya akan mengecam dan melaknat mereka tujuh keturunan. Namun, pernahkah kita melihat persekitaran sosial mereka. Rumah yang mereka duduki, sesuai dan selamatkah ia untuk mereka membesar tanpa sebarang dorongan seksual melampau? Masyarakat di sekeliling bagaimana pula? Ini kerana seks bukan sekadar membabitkan kesan dan akibat, tetapi juga faktor pendorong dan pencetus.
Sudah bertimbun hujah demi hujah dikeluarkan, tetapi pelaksanaan pendidikan seks kita di mana? Ke mana pergi silibus dan garis panduan yang kononnya akan dibentang dan digubal? Seks bukan perkara baru kerana ia sudah dikaji sejak beribu-ribu tahun lamanya. Tiada sesiapa pun yang dapat menafikan fakta ini.
Kenapa perlu pedulikan kumpulan penentang yang ambil mudah dengan menghumban segala persoalan seks kepada guru-guru agama? Saya tidak mempertikaikan agama, cuma kesediaan mereka memjelaskan tentang seks kepada golongan muda kita.
Maaf cakap, ketika di sekolah dulu, tanda tanya dan misteri seks manusia yang tidak difahami saya banyak diselesaikan oleh guru-guru sains dan biologi. Namun, guru-guru agama saya, lebih suka bercakap mengenai dosa dan pahala serta mengeluarkan ucapan nakal berbaur seksual apabila masuk bab perkahwinan dan rumah tangga. Alahai.
#11 Teropong Jauh: Banjir yang penuh ironi
BARU-baru ini (Oktober 2010), bumi Malaya gamat dengan cerita tuding-menuding mengenai parti politik mana lebih laju dan cekap menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang melanda saudara-saudara kita di utara tanah air. Tapi sungguh, saya langsung tidak peduli!
Basikal Pakcik Hepi
#10 Teropong Jauh: Semiotik Stadium Merdeka
Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..
SAYA tidaklah mahu mempertikai kewajaran pembinaan menara Warisan Merdeka 100 tingkat bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dengan kos bernilai RM5 bilion. Apatah lagi Perdana Menteri sendiri menegaskan projek bersepadu tersebut ialah rancangan dan cadangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Kerajaan.