RSS

#13 Teropong Jauh: Ando, mi segera dan falsafah

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual sekitar Semenanjung Malaya. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

BERBANDING bintang pop, Justin Bieber dan Lady Gaga, tidak ramai yang kenal Momofuku Ando, walhal dalam dunia moden hari ini adalah mustahil menemukan manusia yang tidak pernah menjamah produk makanan legasinya, mi segera. Mungkin dalam kolum kecil ini saya dapat membawa anda mengenali siapa manusia berjiwa besar ini.

Ando dilahirkan dengan nama Wu Pai-fu pada 1910 di Chiayi, Taiwan, yang ketika itu menjadi sebahagian daripada Empayar Jepun. Ini bermakna beliau bukanlah berdarah Jepun tulen, sama seperti penduduk Jawa yang berhijrah mencari rezeki di Tanah Melayu, tetapi masih dikira serumpun.

Ibu bapanya meninggal dunia ketika kecil dan beliau dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Tainan, Taiwan. Perniagaan tekstil yang diusahakan datuk dan neneknya memberi ilham kepada beliau, yang ketika itu baru berusia 22 tahun, untuk memulakan bisnes dalam bidang sama di Eirakucho, Taipei.

Pada 1933, Ando berhijrah ke Osaka, Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua, beliau mendapat kerakyatan Jepun. Beliau kemudian memutuskan menetap di negara Matahari Terbit itu selepas diterima melanjutkan pengajian di Universiti Ritsumeikan.

Masalah timbul tidak lama selepas itu apabila syarikatnya diisytiharkan bangkrap dan beliau dipenjarakan dua tahun kerana cuba mengelak membayar cukai. Namun, selepas dibebaskan, beliau bangkit semula meneruskan perniagaan yang sudah menjadi darah dagingnya dengan membuka syarikat dikenali sebagai Nissin. Kali ini beliau beralih kepada perniagaan menjual garam.

Ketika Ando menjalankan perniagaan garamnya itu, Jepun berada dalam zaman kemelesetan ekonomi akibat kempen perang dilancarkan rejim Meiji. Krisis kekurangan makanan di Jepun berada dalam keadaan sangat kritikal. Sumber makanan asas, seperti beras yang dijarah ketika menawan China dan negara Asia Tenggara ketika perang lalu nyata tidak cukup menampung keperluan harian rakyat Jepun.

Sebagai langkah mengatasi krisis berkenaan, kerajaan Jepun melancarkan kempen menggalakkan rakyat makan roti yang dibekalkan Amerika Syarikat. Kempen tersebut nyata mengguris hati Ando kerana baginya atas alasan apa sekalipun roti tidak sepatutnya dijadikan alternatif menggantikan makanan tradisi rakyat Jepun, iaitu mi dan beliau melihat ia sebagai satu bentuk penjajahan Barat terhadap penduduk negaranya.

Reaksi daripada kempen itu, Ando bangkit mencipta mi segera dengan memegang falsafah yang cukup murni, 'Peace will come to the world when the people have enough to eat' (dunia akan aman apabila manusia cukup makan).

Klimaksnya, tepat 25 Ogos 1958, ketika berusia 48 tahun dan selepas menjalani beberapa fasa 'cuba dan salah' untuk menghasilkan mi dengan kaedah cepat dimasak, Ando akhirnya berjaya memasarkan pakej mi segera perasa ayam, dipanggil Chikin Ramen pada harga 35 yen saja, tiga kali lebih murah berbanding semangkuk mi yang biasa dijual di mana-mana restoran Jepun ketika itu.

Di sini, apakah kita sedar falsafah sebenar mi segera yang digagaskan Ando bukanlah 'mi untuk segera mati'? Sebaliknya, bertujuan mengatasi masalah kebuluran di negaranya sendiri dengan mengekal nilai patriotisme bangsa yang ada dalam satu-satu makanan tradisi.

Kawan, lihatlah, betapa legasi jujur ditinggalkan Ando itu kekal zaman berzaman. Makanan itulah menjadi penyelamat golongan marhaen yang kesempitan wang untuk makan dan apabila bencana menimpa, selain mi segera, apakah ada makanan lain yang paling mudah disumbangkan?

Dan saya tertanya-tanya, bilakah nasi lemak kita mampu mengamankan dunia ketika jumlah bilis dan telur dalam sepinggan nasi semakin mengecil kuantitinya?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: