RSS

#14 Teropong Jauh: Dunia atas nama manusia

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual sekitar Semenanjung Malaya. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

MENGIKUT kalendar Gregorian, 2011 adalah tahun ke-11 bagi milenium ketiga dan dekad kedua dalam abad-21. Jika mengambil kira kalendar Hijrah, sudah lebih 1,400 tahun nabi junjungan, Muhammad dan sahabatnya berhijrah untuk membuka lembaran baru Islam yang kini menjadi agama dianuti lebih satu bilion umat manusia.

Sepanjang tempoh lebih 2000 tahun lalu, dunia menyaksikan bermacam-macam rentetan sejarah ketamadunan manusia yang diwarnai pelbagai episod suka dan duka.

Indur Goklany dalam bukunya, 'The Improving State of the World' berhujah bahawa kebebasan ekonomi dan kemajuan teknologi yang dikecapi manusia sejak zaman Renaissance di Florence, Itali sudah banyak mengubah dunia ini menjadi lebih baik dalam segenap perkara.

Peranan wanita dan kanak-kanak, penstrukturan semula tempat kerja, penghapusan sistem kasta dan kelas, kebangkitan populasi kelas menengah dan pembangunan institusi serta organisasi baru.

Betul apa dikatakan Goklany dan kita harus mengakui secara keseluruhannya, manusia kini hidup lebih lama, sihat dan selesa di atas muka bumi hari ini.

Justeru, tidak hairan mengapa populasi penduduk dunia meningkat mendadak dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun kerana ia berkadar arus dengan kemakmuran dan kemodenan ketamadunan yang dicapai manusia. Namun, apakah kita dapat menafikan kebejatan yang sedang melanda bumi yang dihuni kita sekarang?

Walaupun tidak terbilang pencapaian dan kegemilangan di segi sains dan teknologi, termasuk sosial dan budaya dicatatkan manusia. Namun hakikatnya, manusia masih gagal mengelak diri daripada peperangan, keganasan, penindasan dan kebuluran.

Buka mata dan lihatlah betapa ramai umat manusia masih menderita yang mana dunia sudah tidak lagi menjadi tempat tinggal aman untuk mereka menikmati kehidupan lebih baik. Sejak manusia mempetakkan kawasan dihuni majoriti komuniti masing-masing dalam sempadan bernama negara, fahaman individualistik semakin menular.

Dibandingkan dengan sistem feudal lama, yang mengkelaskan manusia mengikut hierarki, darjat dan keturunan, terma feudal moden hari ini juga tidak kurang buruknya. Golongan bawahan atau lemah masih lagi ditindas kelompok berkuasa untuk kepentingan peribadi demi menjaga daulah. Masing-masing mahu menjadi numero uno!

Lihat saja bagaimana blok dunia ketiga dan negara mundur diperkotak-katikkan kelompok kecil negara maju yang punya kuasa dan kekayaan. Agama bernama demokrasi dan ekonomi bebas dijadikan wahyu untuk menetapkan bagaimana sesuatu sistem ekonomi sesebuah negara itu patut dilaksanakan. Hakikatnya, hasil mahsul sesebuah negara itulah yang diburu.

Bumi, yang dulunya indah permai dan dihampari kehijauan alam dan kepelbagaian hidupan lain, kini semakin terpokah dek kerakusan nafsu manusia. Atas nama pembangunan yang disinonimkan dengan kemakmuran, tanah-tanah pertanian, gunung-ganang dan hutan hijau dimusnahkan. Sumber-sumber percuma itu diletakkan harga dan dilelongkan kepada mereka yang berselimutkan emas.

Tanpa sedar, manusia-manusia yang gagal bersaing atau mereka yang hanya mahu menikmati hidup ini seadanya, dihambat menghuni ceruk kota yang kotor atau menginap di sudut pedalaman mundur. Inikah kemakmuran yang dibangunkan manusia bertamadun hari ini?

Saya, ketika menulis artikel ini, berada di tengah-tengah hutan batu yang dikelilingi pokok-pokok konkrit. Ah, kebetulan pula saya dihiburkan dengan 'Imagine', karya agung si genius muzik dari tanah Inggeris, John Lennon. Bagaimana kalau dunia ini tiada negara?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: