RSS

#3 Teropong Jauh: Apabila Merkel turun padang

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di pasaran arus perdana. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..


SEJURUS Jerman membenamkan gergasi bola sepak dari Latin, Argentina di Stadium Green Point, Cape Town, wajah Canselor Angela Merkel dengan aksi mengacu penumbuk ke udara menghiasi dada-dada akhbar seluruh negara Eropah itu.

Sebelum itu, gelagat Merkel bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron menonton perlawanan antara Jerman dan England di kaca televisyen turut mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa. Pelbagai polemik muncul dengan beberapa pihak mendakwa kesungguhan beliau berlepas ke Afrika Selatan sebagai cubaan mendapatkan sokongan kepada calon Presiden persekutuan pilihannya, Christian Wulff.

Walaupun Wulff akhirnya berjaya menewaskan calon pembangkang, Joachim Gauck, tetapi pilihan raya dimenangi beliau itu dilihat sebagai tamparan hebat kepada Merkel dan pentadbirannya.

Namun, Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schauble menyifatkan apa dilakukan Merkel itu tiada kena mengena dengan Wulff melainkan hanya untuk dirinya saja. Salah seorang penasihat kanan Merkel berpendapat perasaan dan sikap rakyat berubah apabila Jerman mendapat tempat ketiga semasa Piala Dunia 2006.

Menurutnya, kejayaan diraih Jerman dalam kejohanan dunia itu sama sekali tidak meningkatkan populariti kerajaan, sebaliknya ia lebih mempengaruhi ekonomi negara. Fakta 2006 menunjukkan jumlah pengangguran menurun walaupun ketika itu perikatan antara parti Merkel, Kesatuan Demokrat Kristian (CDU) dan Parti Demokrat Sosial (SD) bagaikan retak menanti belah.

Justeru, tujuan Merkel itu boleh saja dianggap sebagai strateginya untuk memulihkan ekonomi Jerman yang terjejas teruk akibat krisis kewangan yang melanda Eropah sejak lebih setahun lalu. Walaupun pelbagai spekulasi menular, harus diakui tindakan Merkel itu memberikan impak besar kepada rakyat Jerman yang sedang beremosi dengan rentetan kejayaan pasukan kebangsaan mereka.

Impak sama tidak akan berlaku jika Merkel turun padang menyaksikan perlumbaan Formula Satu, apatah lagi perlawanan golf ataupun polo. Kelibat seorang pemimpin di stadium yang sesak, bingit, bersuhu panas dan dipenuhi pelbagai aksi di luar jangkaan senang saja dilabelkan umum sebagai berjiwa rakyat walaupun pemimpin tu mungkin menyimpan agenda tertentu.

Ini kerana status bola sepak itu sendiri sebagai sukan proletariat dan ia bukan sukan elit yang hanya boleh dimainkan golongan tertentu saja. Sebaliknya di Malaysia, jarang sekali pemimpin-pemimpinnya melihat signifikan bola sepak daripada aspek strategi politik dan ekonomi, terutama dalam mencorakkan sosio budaya masyarakat.

Kebanyakan mereka cenderung melihat sukan rakyat itu di segi habuan peribadi semata-mata tanpa mengambil kira aspek pemupukan patriotisme dan nilai perpaduan negara bangsa. Sudahnya, bola sepak di tanah air berlegar-legar dengan episod penuh duka dan hanya mampu mengulang ucap kejayaan lampau yang tercatat dalam album lama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: