RSS

#1 Teropong Jauh: Washington kecut perut hadapi pengaruh Yahudi

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di pasaran arus perdana. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

KEBERANIAN wartawan veteran Rumah Putih, Helen Thomas, 89, mengeluarkan kenyataan keras mengenai Israel bulan lalu mengejutkan banyak pihak kerana ia jelas bertentangan dengan dasar pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang pro kepada kerajaan rejim Yahudi itu.

Helen ketika diajukan soalan oleh wartawan semasa majlis Sambutan Warisan Yahudi di Rumah Putih pada 27 Mei lalu mendesak Israel supaya berambus dari bumi Palestin. Namun, kontroversi kenyataannya itu mula memuncak selepas ia tersiar dalam laman web perkongsian video, YouTube beberapa minggu lalu, seiring dengan tindakan ganas komando rejim menyerang konvoi kapal bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

Komen yang disifatkan anti-semitik itu pantas mengundang kecaman keras pelbagai pihak, terutama dari pertubuhan dan kumpulan pelobi Yahudi antarabangsa dan AS. Namun, beberapa pihak lain, terutama kalangan negara Arab dan Islam, pendirian Helen itu mendapat pujian dan dia dianggap lebih berani berbanding Presiden Barack Obama dan anggota Kongres AS sendiri.

Ada pihak menganggap komen Helen itu dipengaruhi latar belakangnya sebagai anak kepada migran dari Lebanon. Justeru, tidak menghairankan sentimen Timur Tengah mempengaruhi persepsinya terhadap Israel. Bagaimanapun, jika diimbas rekod lalu sepanjang dia membuat liputan sejak pentadbiran John F Kennedy, Helen adalah antara kelompok wartawan yang sangat kritikal kepada dasar-dasar AS, terutama membabitkan isu integriti dan keselamatan negara.

Semasa sidang media di Rumah Putih pada 27 Mei itu, Helen bertanya kepada Obama bilakah beliau akan memanggil pulang askar AS dari Afghanistan. Pertanyaan sama juga pernah diajukan kepada bekas Presiden George W Bush mengenai perang di Iraq. Helen berpendapat AS sudah jauh tersasar daripada dasar sebenar negara itu yang kononnya menyanjung tinggi kebebasan dan hak asasi manusia.

Hakikatnya, Washington sendiri campur tangan dalam menentukan pentadbiran sesebuah negara seperti dilakukannya di Iraq dan Afghanistan. Lebih menghairankan, Rumah Putih tiba-tiba menikus dan kecut perut ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan secara terbuka Tel Aviv akan meneruskan penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur.

Ini termasuk reaksi lembik Washington ketika mengulas insiden serangan ke atas konvoi antarabangsa, baru-baru ini. Bagi Helen, pengaruh Tel Aviv dalam mencorak struktur pentadbiran Washington adalah sesuatu yang sukar diterima rakyat AS kerana ia mampu menjejaskan integriti selain mengancam keselamatan negaranya.

Sudahnya, Helen membayar harga cukup tinggi atas sikap kritikalnya itu dengan terpaksa melepaskan jawatannya sebagai kolumnis dalam akhbar Hearsts Corp selepas menerima pelbagai desakan dan kecaman dari media-media tempatan yang dikuasai Yahudi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: