RSS

#10 Teropong Jauh: Semiotik Stadium Merdeka

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

SAYA tidaklah mahu mempertikai kewajaran pembinaan menara Warisan Merdeka 100 tingkat bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dengan kos bernilai RM5 bilion. Apatah lagi Perdana Menteri sendiri menegaskan projek bersepadu tersebut ialah rancangan dan cadangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Kerajaan.


Ini bermakna menara itu langsung tiada kaitan dengan wang pemegang amanah melainkan wang keuntungan daripada hasil pelaburan PNB.

Tambahan lagi, ia bertepatan dengan mandat pelaburan diberikan yang menyatakan dengan jelas apa yang PNB boleh dan tidak boleh laburkan. Saya yakin PNB dan Kerajaan ada alasan kukuh untuk merasionalkan pembinaan Menara Warisan.

Namun, dalam ruangan kecil ini, saya cuma ingin menyentuh mengenai aspek semiotik yang secara langsung ada kaitan dengan bangunan tinggi itu yang dirancang dibina di celahan bangunan ikon sejarah negara, Stadium Merdeka.

Di segi terma bahasa, semiotik ialah kajian mengenai proses tanda (semiosis) atau signifikasi dan komunikasi, tanda dan simbol. Secara mudah, ia menjelaskan mengenai kepentingan dimensi antropologikal dalam setiap perkara sains natural, kemanusiaan dan sains sosial. Justeru, sebarang struktur binaan, lama atau baru, memiliki makna semiotik tersendiri.

Apabila mengaitkannya dengan Menara Warisan, saya khuatir kewujudan bangunan pencakar langit itu akan menenggelamkan kesan semiotik Stadium Merdeka yang memiliki signifikasi sejarah yang cukup besar buat rakyat Malaysia.

Di stadium itulah, bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman melaungkan kata keramat 'Merdeka'. Di situ jugalah terlahirnya bintang-bintang sukan negara, terutama dalam arena bola sepak antarabangsa seperti allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan Soh Chin Aun.

Stadium Merdeka bukan sekadar bangunan sejarah yang memberi imej hamparan padang dan tempat duduk bertingkat. Ia sebenarnya membawa imej dam simbol kebebasan dan perpaduan seluruh warga negara ini.

Cukuplah kita mempunyai Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) sebagai bangunan ikon di Kuala Lumpur. Apa perlu lagi bangunan tinggi lain untuk menyainginya. Kalau PNB masih mahu membinanya, tidak adakah kawasan lain lebih sesuai? Mungkin ia boleh dibina sebagai mercu tanda baru di Putrajaya.

Lihat di Paris, apakah Menara Eiffel dikepit oleh deretan bangunan tinggi? Jenguk pula bangunan Colosseum di Rom dan Dataran St Peters di Vatican City, apakah ada binaan moden yang menenggelamkan makna semiotik dan tinggalan sejarah bangunan-bangunan tersebut? Bukankah Stadium Merdeka patut diberikan layanan sama dengan semua binaan itu?

Sepatutnya kawasan sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara dibangunkan sebagai dataran sukan atau riadah di ibu kota. Tidak perlu dibina sebarang kompleks sukan serba mewah, cuma sediakan dataran luas dan kemudah-kemudahan asas beriadah. Selain menjadi tempat warga kota bersantai, dataran itu nanti pastinya memberi peluang anak-anak muda bersukan, bergembira dan melupakan seketika tekanan hidup mereka di ibu kota.

Stadium Merdeka sepatutnya dimakmurkan. Biarkan kaki-kaki rakyat negara ini memijak rumputnya dan biarkan punggung mereka duduk di bangku-bangkunya. Beri peluang mereka membayangkan sendiri detik-detik sejarah kebebasan dan perpaduan yang pernah dikecapi warga tanah merdeka ini. Jangan biarkan stadium ini menjadi tanah perkuburan.

Kawan, mungkinkah saya seorang yang terlalu bernostalgia?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: