RSS

#9 Teropong Jauh: Di sebalik Islamofobia


Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

ISTILAH Islamofobia kedengaran lagi di media-media Barat. Terbaru, dua pengacara stesen Fox News, Bill O'Reilly dan Brian Kilmeade menyelar penganut Islam berhubung isu pembinaan masjid dekat lokasi insiden 11 September atau Ground Zero. O'Reilly dan Kilmeade dalam rancangan The View mempertikaikan kewajaran pembinaan pusat Islam berhampiran tapak serangan itu dengan mengeluarkan kenyataan, "Muslim bunuh kita pada 11 September."

Di Carolina Selatan, daging babi diletakkan berhampiran laluan masuk sebuah pusat Islam, manakala di Doha, seorang ahli perundangan Perancis mengkritik kerajaan Britain kerana gagal mengharamkan burka di negara berkenaan.

Sesiapa pun penganut Islam pasti melenting dan terguris dengan sikap diskriminasi Barat yang mengaku kononnya merekalah penegak hak asasi manusia paling unggul di planet bumi ini. Sebaliknya, layanan mereka terhadap penganut Islam selepas insiden 11 September pada sembilan tahun lalu jauh berbeza daripada apa yang diperjuangkan. Ada beberapa kes, penganut Sikh turut menghadapi diskriminasi sama hanya kerana mereka ber'serban'. Beza sesuatu agama pun sukar ditentukan, apa lagi yang mahu diharapkan kepada Barat?

Walaupun berulang kali kita cuba menyedarkan betapa Islam itu agama keamanan, tetapi realitinya bukan begitu. Faham Barat, Islam itu agama yang dipenuhi puak-puak ortodoks dan ekstremis yang mahu ber'jihad' menghapuskan penganut agama lain, sekali gus menguasai dunia.

Benarkah apa yang difahami Barat itu? Sudah tentu kita akan menafikan jawapan itu sambil mengecam semula Barat dengan tuduhan sama. Namun, pada masa sama, jika kita melihat realiti yang sedang berlaku di sekeliling kita dan negara-negara Islam lain, apakah kita, selaku umat Islam, memenuhi makna keamanan seperti yang disarankan agama suci ini?

Usah ditanya layanan kita kepada penganut agama lain, bagaimana layanan kita terhadap saudara seagama? Di Timur Tengah, Sunni dan Syiah masih lagi tidak sefahaman. Prasangka dan sengketa yang diheret berabad-abad lama masih lagi gagal dihuraikan walaupun masing-masing mengaku pengikut Nabi Muhammad dan beriman kepada Tuhan yang satu.

Ini belum diambil kira aspek ekonomi dan pendidikan sesama negara Islam yang jurangnya amat jauh berbeza. Negara-negara Islam kaya berterusan menghimpun kekayaan dengan melobi di blok Barat atas dasar mengaut keuntungan peribadi. Sebaliknya, negara-negara Islam miskin pula masih dibiarkan terus melarat dan bergelut dengan konflik saudara yang tidak berkesudahan. Justeru, makna keamanan apa yang mampu kita tonjolkan kepada Barat?

Kita harus sedar reformasi total dalam aspek ekonomi dan pendidikan yang berteraskan ideologi syahadah adalah jawapan kepada segala kekusutan yang dihadapi umat Islam hari ini. Namun, hakikat pahit yang perlu diterima ialah kelompok reformis agama dan ilmuan yang ikhlas mahu mengeluarkan ummah daripada belenggu kejahilan dan kefakiran sering menjadi musuh kepada sang penguasa yang mahu mempertahankan daulah dan kekayaan.

Dan usahlah dihairankan jika marah dan benci kita terhadap Barat cuma dapat dinoktahkan di perhimpunan dan protes bermusim. Tanya pada diri, apakah cukup tekad dan usaha kita untuk membuatkan agama kita dihormati?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 komen:

Noni Nandini said...

Setuju dengan postingan anda. Ketika orang barat disuruh menghormati orang Timur, tetapi orang Timur jarang sekali menunjukan "Ketimurannya".