RSS

#7 Teropong Jauh: Renung kembali fitrah diri

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

BARU-BARU ini, kelompok pelampau Kristian di beberapa negeri dalam Amerika Syarikat (AS), bertindak mengoyak dan membakar Al-Quran sebagai reaksi kepada rancangan membina sebuah masjid dekat lokasi serangan 11 September atau Ground Zero.


Walaupun Presiden Barack Obama berulang kali meminta rakyatnya bertenang sambil mengingatkan bahawa tindakan melampau itu hanya akan memarakkan sentimen kebencian dalam kalangan umat Islam seluruh dunia dan AS sendiri, tetapi segalanya bagaikan mencurah air di daun keladi. Semuanya sia-sia belaka.

Dalam perkembangan lain, seorang wakil pertubuhan ateis di Australia, Alex Stewart menyiarkan rakaman video membakar Al-Quran dan Injil dalam laman web YouTube sebagai tanda sindiran kepada kekecohan itu yang dicetuskan oleh paderi Florida, Terry Jones yang mengancam mahu membakar 200 naskhah Al-Quran sempena sambutan ulang tahun insiden 11 September.

Tindakan Stewart itu mungkin reaksi kepada perasaan kecewanya terhadap ketidakstabilan dunia akibat persengketaan yang dicetuskan manusia-manusia beragama. Pada anggapannya, Al-Quran ataupun Injil hanya sekadar buku dan tiada apa yang suci mengenai kedua-duanya. Mungkin pada hematnya, adalah lebih baik manusia itu membuang agama dianuti mereka bagi mewujudkan dunia baru yang lebih harmoni.

Persoalannya, apakah perbuatan Stewart itu-membakar Al-Quran dan Injil-mampu menstabilkan dunia? Sebagai penganut ateisme yang tidak percayakan Tuhan dan menyanjung tinggi kebebasan berfikir, bukankah perbuatan menghina kerpercayaan dan anutan manusia lain itu boleh disifatkan sebagai celaan kepada isme yang dipegangnya sendiri.

Sesuatu agama itu tidak wujud tiba-tiba. Dalam agama samawi atau Ibrahimik, iaitu Yahudi, Kristian dan Islam, sejarahnya bermula ribuan tahun lampau dan setiap agama itu mempunyai saling kaitan yang akrab. Kaitan agama tersebut bukan sekadar membabitkan penganut-penganutnya, tetapi juga Nabi dan Rasul yang disebut dalam kitab tiga agama tersebut, di mana semua mereka mendapat wahyu daripada Allah untuk memberi panduan kepada kaum masing-masing dan umat manusia.

Jika dikaji dengan teliti, sesuatu agama itu datang dengan misi membebaskan fikrah manusia daripada belenggu jahiliah dan penindasan. Dengan beragama, tiada lagi jurang perkauman dan kasta yang suatu masa dulu dikuasai manusia-manusia berkuasa dan bijak, tetapi kejam dan angkuh.

Ketika sepertiga dunia dibelenggu kuku besi empayar Rom, Islam datang membebaskan penduduk-penduduknya yang hidup menderita di bawah pemerintahan kaisar-kaisar yang rakus mengikis dan meragut hak-hak rakyatnya.

Namun, selepas umat manusia mula mengecap nikmat ketamadunan dalam sejarah kewujudannya di muka bumi ini, mereka mula mencampak garis toleransi yang mengikat mereka pada kesamaan fitrah yang serupa, iaitu daripada titisan mani menjadi bayi yang lemah sebelum perlahan-lahan membesar dewasa menjadi makhluk paling berakal di dunia.

Hari ini, kita dapat menyaksikan wujudnya kelompok pemikir liberal yang hadir dengan idea pluralisme yang cuba menyamaratakan setiap agama dalam usaha mewujudkan masyarakat dunia yang ideal. Ini mustahil berlaku kerana fahaman mana-mana agama pun sentiasa berbeza dan tidak pernah sama.

Lebih parah, ada kelompok manusia ultraliberalis seperti Steward memutuskan menyeranahkan semua agama manusia yang disifatkannya sebagai punca manusia bersengketa kerana baginya, manusia itu akan aman jika tidak beragama. Benarkah?

Apa yang perlu ialah toleransi dan merenung kembali fitrah diri sebagai manusia. Bukankah faham agama semuanya mengajar begitu? Kenapa perlu mentafsir agama masing-masing dalam kotak fikir sempit dan dangkal.

Firmah Allah dalam surah Al-Kafirun, ayat 6, "Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: