RSS

Tabung Ultraman dan papan notis



Ini gambar tahun 2005, gambar tabung Ultraman yang aku beli di kedai 2 ringgit. Tak ada syiling pun dan cuma sekadar hiasan atas monitor PC aku.

Di belakang tabung adalah papan notis yang aku lekatkan macam-macam nota. Paling jelas kelihatan adalah lukisan kartun yang aku lukis sempena musim final exam.

Di kanan bawah adalah nota pendek pasal subjek Elektronik Asas. Nota-nota lain tak berapa jelas sebab kualiti kamera henfon ketika itu tak adalah hebat sangat. Tapi nampak macam tiket bas, resit asrama, jadual exam, nama dan kad pengenalan siapa entah dan nota puisi (kanan atas).

Amacam, bebudak sekarang ada berani tampal puisi kat papan notis? Apa, tampal lirik lagu K-Pop?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Pasal gambar kalkulus


Ini gambar tahun 2005 ketika masih bergelar pelajar universiti. Tahun itu jugak aku berpindah kampus Unisel dari Shah Alam ke Batang Berjuntai. Perasaan memang down gila, kau boleh bayangkan orang KL yang hip tiba-tiba dikerah bertugas ke hutan Belum di Gerik sana.

Tak silap aku, ini kertas subjek Kalkulus, subjek maut yang ramai orang tak suka, termasuk aku. Di sudut kiri atas gambar adalah secawan Nescafe 3 in1 original buat penyegar mata, manakala di bawahnya pula adalah henfon aku yang ke berapa entah. Cap Nokia.

Aku pun tak ingat yang aku pernah pakai henfon ni. Mujurlah masa tu tak ada lagi telefon pintar bukan-bukan. Kalau tidak pasti lebur duit PTPTN aku. Tapi zaman itu, ketagihan aku banyak bertumpu kepada aksesori PC sampai sanggup turun Low Yatt untuk cari barang komputer apa yang patut. Tapi tak adalah ekstrem sangat pun.

Untuk tampung duit poket yang sesak, aku buat kerja part time repair komputer. Semua pelanggan aku perempuan saja sebab lelaki ni kalau komputer rosak dia orang pandai repair sendiri.

Harga aku ambil untuk format PC adalah separuh daripada caj kedai, lebih kurang RM50. Kira masyuklah masa tu buat lepas duit minyak motor, pergi kafe siber untuk tulis blog dan belanja makwe (sebelum putus cinta). Ahaks.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tragedi Ramadan



Kau ulang-alik bazar Ramadan dan kau tak tahu apa yang mahu dibeli. Akhirnya, kau beli makanan yang bukan-bukan. Kau makan banyak sampai perut kau kembung dan pecah. Sisa makanan yang kau makan terpalit ke siling.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kenapa Jodoh Tak Kunjung Tiba?




Beberapa hari lalu saya bersembang dengan Najwa tentang perkahwinan.

“Najwa, nanti bila dah dewasa nak abah dengan mama carikan calon suami atau nak cari sendiri?”

“Apalahlah Abah ni, lambat lagilah nak kawin. Not interested to discuss this topic. NEXTTTT” jawab Najwa selamba.

“Awa, nanti bila Awa dah kahwin kan, Awa nak anak berapa ya?”

“Ish Abah ni, tak habis lagi rupanya. Awa tanya abah baliklah, ha nanti Abah nak cucu berapa?”

“Abah nak ramai cucu. Nanti senang nak pilih mana satu nak wrestling dengan atok diorang. Best cucu ramai ni tau”

Mengekek kami ketawa.

Saya dan Ain berkahwin pada usia yang muda (dalam konteks zaman kami dianggap muda bila berkahwin pada usia 24). Pada usia 25 kami dikurniakan Najwa.

Indahnya dianugerahkan anak pada usia berkenaan menyebabkan saya dan Ain tidak punyai masa untuk berseronok-seronok ke sana sini melalui zaman bujang kami.

Ramai kawan-kawan yang mengusik Ain dan saya (kerana kami sebaya) semasa kami hulurkan kad jemputan perkahwinan.

“Wah, cepatnya kahwin. Amboi tak tunggu lama pun ya?”

“Ewah, terus ngap sayot aja ya? Kenal 6 bulan terus nak kahwin dah. Tak enjoy dulu Naz? Rugi tau tak enjoy”

“Baru umur 24 korang dah nak kawin? Ekonomi tak stabil lagi. Gaji baru berapa sebab baru kerja. Nanti belum apa-apa dah ada anak. Perempuan cepat nampak tua bila dah beranak pinak tau. Nanti tak sampai 30 tahun dah macam 40 an”

Semua usikan ini kami hanya balas dengan senyuman.

Disember ini usia perkahwinan kami mencecah 16 tahun. Anak-anak juga sudah ada yang remaja. Najwa sudah 15, Najman 13 dan Najmi 11 tahun.

Lucunya bila berjumpa teman-teman yang mengusik dahulu lain pula nada usikan mereka.

“Eh dah ada anak dara dah kau Naz. Dua hero nipun dah bujang dah haa. Aduhai, anak aku baru sekolah tadika anak kau pulak dah tak lama nak masuk universiti”

“Adui, ruginya kahwin lewat ni. Untung kau Ainon. Najwa dah macam adik beradik dah dengan mamanya.”

Sekali lagi kami tersenyum.

Teringat saya satu cerita yang pernah kami sembangkan di suatu petang semasa Najwa masih berusia 3 tahun

“Ain, nanti kan masa umur kita 50 tahun, Najwa dah 25 usianya. Dah keluar universiti dah. Bolehlah dia tanggung belanja adik-adiknya nanti”

“Entah-entah dia ikut jejak kita bang, habis belajar terus kahwin. Belum pencen dah bercucu dah kita agaknya.

Abang tau tak masa kat office kan, kadang-kadang we just know that we have shifted gears and moved on in our life as compared to our peers?” Balas Ain.

Tekun saya memasang telinga.

“Tadi masa kat office, sembang masa lunch dengan kawan-kawan. Ada yang sama umur dengan kita, ada yang senior.

Masa geng yang dah ada anak-anak kecil macam kita sembang pasal pampers, ruam lampin, anak dah mula merangkak, yang tumbuh gigi ada yang lagi senior usianya dari kita dan belum berkahwin bersembang perkara-perkara yang kita dah tak boleh nak relate dah tau bang?”

“Hmm..abang tak faham ni, maksud Ain?”

“Mereka ni cerita benda-benda macam erm.. nanti nak kahwin nak lelaki yang hensem, yang ada kumis, ada yang kata nak lelaki seksi ada bulu dada. Ish, dah tak boleh masuk dah kita dalam cerita-cerita macam ni.

Bila fikir kan bang, kesian sebenarnya. Apalah yang kawan-kawan kita yang belum kahwin tu cari agaknya dalam pasangan mereka kan?

Nak cari Mr Perfect agaknya. Tinggi sangat benchmarknya. Sampai sekarang masih sendiri.

Mereka ni semua sunyi tau bang?. Tak ada pasangan yang nak kongsi kegembiraan, sedih, mengadu, kesian kan?”

Saya terdiam seketika cuba menyusun ayat

“ Mana ada manusia sempurna kan Ain? Semua kita ni ada kekurangan. Yang sempurna tu Allah SWT.

Setiap pasangan tu memang ditakdirkan jodohnya saling melengkapi. Kurang si lelaki ditampung isteri. Macam tu jugak sebaliknya. Macam kita ni kan saling melengkapi kan?”

“Maksud abang?” Desak Ain inginkan kepastian

“Macam kita nilah. Ain suka dengar, abang yang banyak cakap. Abang tak pandai matematik, Ain ada degree dalam matematik. Kalau makan ayam goreng, Abang tak suka peha ayam tapi sukakan bahagian kepak dan dada. Ain pulak sebaliknya.

Kan saling melengkapi tu.

Sepatutnya kita ni memang kena memilih tapi harus bertempat. Kita boleh letak senarai KPI yang kita kehendaki dari pasangan kita tu tapi tak bolehlah kesemua KPInya nak dipenuhi.

Kalau ada katalah sepuluh perkara yang kita nak dari pasangan kita. Janganlah nak dapatkan kesemua sepuluh kriteria baru nak kahwin. Dapat tujuh jadilah dulu. Tiga lagi kriteria tu kita binalah dalam alam rumahtangga.

We have to be practical as we do not live in an ideal world”. Jelas saya

Ain mengangguk.

“Wah pandai abang matematik tu. Dah siap pakai percentage dan nisbah bagai tu ha” Usik Ain.

Berderai ketawa kami berdua.

Apa yang kita tunggu sebenarnya? Kenapa jodoh kita tak kunjung tiba?

Saya nak kongsikan sedikit apa yang saya temui di dalam buku yang di hadiahkan sepasang teman rapat saya.

Buku ini bertajuk Inspirasi cinta terhebat. Intailah mukasurat 3 seksyen tengah bertajuk

“Ya Allah, Aku tak ingin sendiri – Kenapa jodoh tak kunjung datang?”

Persoalan yang saya tanyakan tadi disusul soalan dalam buku yang ditulis Burhan Sodiq dengan bersahaja.

Bila ditanya tentang jodoh apa yang kita lakukan sebenarnya dalam menangani hal jodoh?

Adakah kita memilih menunggu dan terus menunggu, sambil berharap penuh cemas?

Atau adakah kita akan melakukan ‘sesuatu’, agar jodoh itu datang menyapa?

Soal jodoh ini bukan soal enteng kan?

Saya pasti perasaan seseorang yang menanti jodohnya datang tapi tak juga kunjung tiba akan bercampur baur perasaan cemas, kecewa dan lambat laun perasaan ini menjadi tekanan yang berlarutan apabila orang sekeliling mula mendesak dan menyakitkan dengan soalan-soalan sensitive yang bertubi-tubi.

Bila kita ke kenduri kendara contohnya. Sosek-sosek orang kampung bertanya pada ibu dan ayah kita;

“Ish anak kamu tu lawa orangnya, berpendidikan pulak, apa lagi yang dicarinya tu bang/kak? Atau

Lewat sangat usianya anak abang tu dah tu, takda calon lagi ke?”

Kalau sekali dua mungkin tahan cuping telinga, tapi kalau selalu? Saya ada teman yang masih solo bercerita yang dia serik pulang ke kenduri kendara sanak saudara kerana serik diaju soalan-soalan sebegini.

Mungkin ramai yang masih seorang di luar sana memberi berbagai jawapan pada rasional kenapa masih membujang.

Barangkali ada yang mengatakan belum ada calon yang sesuai, ekonomi belum stabil, masih belajar lagi, takut terkongkong dan sebagainya. Terpulanglah.

Suka saya kongsikan konteks murah rezeki selepas berumahtangga mengikut Al-Quran yang disebutkan di dalam Surah An-Nur ayat 32;

“Dan nikahilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (menikah) daripada hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi maha mengetahui”

dan mafhum hadis riwayat Imam Dailami dalam Musuad-al-Firdaus ;

“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)”

Sebab itulah orang tua-tua kata jangan risau lepas berkahwin dan punyai anak tak cukup bagi anak-anak makan, adalah ‘rezeki anak’ tu nanti.

Pernah dengar kan begitu?

Pada sahabat-sahabat lelaki yang masih bujang ketahuilah bahawa terdapat tiga kunci kebahagiaan suami dalam isteri yang solehah iaitu;

1. Jika dipandang membuat semakin sayang,
2. Jika kamu pergi membuat tenang kerana dapat menjaga kehormatannya dan;
3. Taat pada suami

Pilihlah bakal isteri kerana agamanya kerana Imam Tabrani meriwayatkan dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasullullah S.A.W pernah bersabda;

“Barangsiapa yang menikahi wanita kerana kehormatannya (jawatannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kehinaan; barangsiapa yang menikah kerana hartanya, maka Allah SWT tidak akan menambah kecuali kefakiran; barang siapa menikahi wanita kerana hasab (kemuliaannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kerendahannya. Dan barangsiapa yang menikahi wanita kerana ingin menutupi (kehormatan) matanya, membentengi farji (kemaluannya) dan mempererat silaturrahim, Maka Allah SWT akan memberi barakah-Nya kepada suami isteri tersebut.”

Janganlah kita jadikan alasan pernah kecewa, inginkan perkahwinan yang glamour umpama puteri raja, tak mampu kerana mas kahwin dan hantarannya mahal, cacat anggota dan rasa rendah diri, tidak boleh kahwin tanpa bercinta dahulu, langkah bendul dan sebagainya sebagai halangan untuk berumahtangga.

Moga yang masih mencari bertemu yang dihajati dan segera membina istana bahagia.

InsyaAllah..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Seorang manusia di kaki gunung


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Pergaduhan air & minyak


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Punggung yang sudah lama tidak bersenam

Aku sekarang tengah praktis melukis guna MS Paint. Selalunya, aplikasi ni berguna untuk tampal imej slip transaksi online yang di-print screen untuk urusniaga internet saja. Lain daripada tu, memang aku tak tau nak guna untuk apa.

Tapi, kalau kau rajin menggugel (Google), ada banyak gambar menarik yang dilukis pelbagai artis amatur dan profesional dengan hanya guna MS Paint. Memang penuh artistik hingga aku rasa macam nak cuba bakat juga.

Apapun, bagi aku, seni Paint ini akan jadi lebih 'true' dan bermakna kalau kau lukis guna tetikus, tanpa ada sebarang  bantuan peranti lain. Amacam?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Mengapa Tudung Labuh?

Pengalaman menarik Fatimah Syarha, penulis novel Seindah Mawar Berduri dan Musafir Syabab Kasih, menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?”

Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

.............................................

Sejak kecil, Abah sangat melarang saya memakai tudung tiga segi yang labuhnya sedikit cuma dari bahu. Tapi kerana biah saya di MRSM yang mewajahkan tudung labuh sebagai jumud, saya protes.

Saya mula bertudung labuh dengan kerelaan sendiri sejak mendaftarkan diri ke Matrikulasi pada 15 Mei 2006. Dimulakan dengan tudung empat segi bidang 60.

Kenapa saya melabuhkan tudung?

Saya takut melihat iklan-iklan dan tayangan di televisyen tentang mahasiswi di IPT. Pakaian ketat, pergaulan bebas. Itulah bayangan saya tentang universiti.

Jesteru, saya mahu tudung menjadi perisai diri, secara tidak langsung sebagai tanda 'Hey, treat me like a proper muslimah!'

Tudung Sebagai Pelindung

Boleh kata setiap hujung minggu saya perlu keluar ke negeri-negeri lain sewaktu menuntut dulu. Pasti, kenderaan awam seperti bas dan keretapi akan saya guna.

Tudung labuh bulat akan saya kenakan bila bermusafir dengan kenderaan awam. Ia banyak menyelamatkan saya.

Dalam bas atau keretapi, selalunya lelaki tak akan duduk disebelah saya. Yang peliknya, dia boleh selamba duduk dengan perempuan lain. Mungkin dia segan pada penampilan saya. Alhamdulillah, selamat.

Kalau naik keretapi waktu puncak di KL Sentral atau lebih lagi di Bank Negara, saya tak risau dihimpit lelaki. Ramai yang akan beri ruang kepada saya, dan mereka tak berani untuk merapat. Alhamdulillah, selamat!

Tudung Labuh Sebagai Pemberi Hormat

Percaya atau tidak, saya dan rakan-rakan pernah diberi tempat duduk di dalam keretapi, hanya kerana kami bertudung labuh dan berjubah, sedangkan lebih ramai manusia sedang berdiri.

Bila membeli belah, peniaga akan menjaga tangan mereka sewaktu menghulurkan wang baki. Lucu juga, tapi itulah tandanya dia hormat.

Tudung Labuh Sebagai Warden

Satu hal saya perasan, pakaian akan mengawal tingkah laku saya. Bila saya memakai T-Shirt dan seluar, saya suka berlagak lelaki. Hatta di dalam rumah sekali pun.

Tapi bila memaki tudung labuh, berjubah atau baju kurung, saya rasa lebih feminin. Langkah saya lebih terjaga, tidak melompat ke sana ke mari.

Ya, tidak dinafikan ada sahaja sebilangan bertudung labuh yang akhlaqnya lebih teruk dari yang tidak bertudung. Tapi sekurangnya dia berani untuk bermujahadah dengan persepsi orang terhadapnya, sekurangnya dia telah selesai bahagian auratnya.

Moga tindak tanduk kita semuanya digerakkan oleh Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Antara orang yang mendapat doa malaikat

Antara orang yang mendapat doa malaikat

1)Orang yang tidur dalam keadaan bersuci..(2)Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat..(3)Orang yang berada di saf depan solat berjemaah..(4)Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf..(5)Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah..(6) Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat..(7) Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah..(8)Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan..(9)Orang yang membelanjakan harta ke jalan Allah (infak)..(10)Orang yang sedang makan sahur..(11)Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit..

1)Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa:
“Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini kerana tidur dalam keadaan suci.”

2)Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya:
‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3)Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4)Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5)Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6)Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7)Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagai man a kalian meninggalkan hamba-Ku?”

Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

8)Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagai man a kalian meninggalkan hamba-Ku?”

Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

9)Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’

10)Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11)Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Notis lupa

Ini notis di belakang pintu utama rumah bujang aku dulu. Ditulis oleh Ust Din gara-gara perangai budak rumah yang selalu lupa tutup lampu dan kipas bila keluar pergi kerja. Sekali tengok sudah macam notis mak abah pesan kat anak-anak dia orang.

Tapi bila dah kahwin ni, perangai bujang tu terbawa-bawa juga. Aku selalu lupa tutup penutup mesin basuh dan orang rumah aku selalu marah-marah.

"Nanti cat atas tu jatuh bawah. Ishhh.. asyik lupa saja!!"

Untuk pengetahuan, cat bumbung bilik air aku, yang menjadi tempat meletak mesin basuh, tertanggal berpunca daripada bilik air jiran tingkat atas (aku duduk flat). Mungkin sebab seni tampal simen tak betul, berlaku masalah tiris yang menyebabkan bumbung bilik air aku (lantai jiran) lembap dan cat tertanggal, lalu jatuh.

Masalah lupa ini berlaku kerana selepas basuh kain baju (yang banyak), aku biasanya kendong hasil cucian tu dengan dua tangan dan campak atas sofa sebelum disidai satu persatu.  Inilah yang buat aku lupa sebab aku tak ada tiga tangan yang boleh diguna untuk kendong kain baju dan tutup penutup mesin basuh sekali gus.

Tapi sebagai suami yang baik aku jawab, " Baeekkkkklahhhhhhhh"

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sebuah kehilangan


Dari zaman belajar di universiti swasta sampailah ke alam pekerjaan, pejam celik sudah dekat 10 tahun masa berlalu. Bila dah habis belajar, kerja duduk sekali. Dari lima tinggal empat orang, dari empat tinggal tiga dan sekarang dari tiga tinggallah berdua saja kat Rumah Puaka tu. Pergi makan sama, lepak sama dan merayap pun sama-sama. Masing-masing sudah pindah rumah kelamin. Tinggal bertiga ok lagi, tapi bila sudah tinggal berdua duk serumah ni rasa suram sunyi saja. Rasa kehilangan. Lumrah kehidupan.. Biasalahh...

Dah pukul 2 pagi ni, comfirm Jarul tak balik. Makan megi sambil layan Masterchef carer jugak...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

5 jenis lelaki yang masih single

Workaholic - Bagi lelaki yang menjadikan pekerjaan sebagai keutamaan dalam kehidupan, mereka pasti akan menganggap hubungan adalah halangan kerana perlu memperuntukkan masa atau tenaga terhadap pasangan. Kemungkinan juga mereka menetapkan tujuan bekerja adalah untuk diri sendiri. Selain itu, ada sesetengah lelaki juga menetapkan beberapa matlamat yang hendak dicapai dalam kehidupan mereka. Soal hubungan, mereka ketepikan buat sementara kerana ingin memberi 100 peratus fokus mengejar matlamat yang diimpikan. Ini membuatkan mereka memilih kehidupan bersendirian buat sementara waktu.

Kaki Party - Kebiasaannya, lelaki yang suka berfoya-foya lebih gemar single berbanding mempunyai hubungan. Ini bertujuan mengelakkan mereka daripada terikat dengan mana-mana wanita. Kemungkinan juga mereka menetapkan satu peringkat umur untuk mereka menjalinkan hubungan yang betul-betul serius. Sebelum sampai ke peringkat umur ditetapkan, mereka lebih gembira menghabiskan masa bersama rakan-rakan sebelum memberi komitmen terhadap perhubungan.

Lelaki Pemalu - Seorang lelaki pemalu juga sukar dapat pasangan. Ini kerana, mengenali seseorang wanita perlu dimulakan dengan perbualan. Sekiranya seseorang lelaki takut berbual, agak mustahil mereka mengenali wanita itu dengan lebih rapat. Lelaki seharusnya lebih yakin untuk berbual dengan wanita. Jika sikap malu terus membelenggu diri, pasti lelaki ini terus single. Anda perlu bijak mengeluarkan diri daripada sifat malu. Sifat malu juga penting untuk menilai adab atau tingkah laku seseorang, tetapi ia haruslah bertempat dan sesuai dengan keadaan.

Terlalu Memilih - Apakah keutamaan sesuatu hubungan itu untuk mencari kesempurnaan atau saling melengkapi kelemahan masing-masing? Ia terpulang kepada individu untuk membuat pilihan. Tetapi perlu diingatkan, untuk mencari sesuatu kesempurnaan itu adalah agak mustahil. Lelaki yang menetapkan terlalu banyak kriteria yang perlu dipenuhi oleh seseorang wanita sebelum menjadi pasangan mereka, agak sukar mendapat pasangan. Ini kerana mereka sendiri meletakkan terlalu banyak halangan untuk seseorang menjadi pasangan mereka.

Selesa Kehidupan Sendirian - Ada juga sesetengah lelaki yang sengaja tidak mahu mencari pasangan. Ini kerana mereka selesa dengan kehidupan yang dilalui sekarang. Mungkin juga mereka hendak menikmati kehidupan secara bersendirian dahulu sebelum mereka berkongsi hidup bersama pasangan. Kebiasaannya, lelaki seperti ini bijak memilih pasangan yang mereka rasakan sesuai untuk mereka kerana mereka tidak gelojoh dalam memilih pasangan.

5 jenis lelaki yang masih single

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

#14 Teropong Jauh: Dunia atas nama manusia

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual sekitar Semenanjung Malaya. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

MENGIKUT kalendar Gregorian, 2011 adalah tahun ke-11 bagi milenium ketiga dan dekad kedua dalam abad-21. Jika mengambil kira kalendar Hijrah, sudah lebih 1,400 tahun nabi junjungan, Muhammad dan sahabatnya berhijrah untuk membuka lembaran baru Islam yang kini menjadi agama dianuti lebih satu bilion umat manusia.

Sepanjang tempoh lebih 2000 tahun lalu, dunia menyaksikan bermacam-macam rentetan sejarah ketamadunan manusia yang diwarnai pelbagai episod suka dan duka.

Indur Goklany dalam bukunya, 'The Improving State of the World' berhujah bahawa kebebasan ekonomi dan kemajuan teknologi yang dikecapi manusia sejak zaman Renaissance di Florence, Itali sudah banyak mengubah dunia ini menjadi lebih baik dalam segenap perkara.

Peranan wanita dan kanak-kanak, penstrukturan semula tempat kerja, penghapusan sistem kasta dan kelas, kebangkitan populasi kelas menengah dan pembangunan institusi serta organisasi baru.

Betul apa dikatakan Goklany dan kita harus mengakui secara keseluruhannya, manusia kini hidup lebih lama, sihat dan selesa di atas muka bumi hari ini.

Justeru, tidak hairan mengapa populasi penduduk dunia meningkat mendadak dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun kerana ia berkadar arus dengan kemakmuran dan kemodenan ketamadunan yang dicapai manusia. Namun, apakah kita dapat menafikan kebejatan yang sedang melanda bumi yang dihuni kita sekarang?

Walaupun tidak terbilang pencapaian dan kegemilangan di segi sains dan teknologi, termasuk sosial dan budaya dicatatkan manusia. Namun hakikatnya, manusia masih gagal mengelak diri daripada peperangan, keganasan, penindasan dan kebuluran.

Buka mata dan lihatlah betapa ramai umat manusia masih menderita yang mana dunia sudah tidak lagi menjadi tempat tinggal aman untuk mereka menikmati kehidupan lebih baik. Sejak manusia mempetakkan kawasan dihuni majoriti komuniti masing-masing dalam sempadan bernama negara, fahaman individualistik semakin menular.

Dibandingkan dengan sistem feudal lama, yang mengkelaskan manusia mengikut hierarki, darjat dan keturunan, terma feudal moden hari ini juga tidak kurang buruknya. Golongan bawahan atau lemah masih lagi ditindas kelompok berkuasa untuk kepentingan peribadi demi menjaga daulah. Masing-masing mahu menjadi numero uno!

Lihat saja bagaimana blok dunia ketiga dan negara mundur diperkotak-katikkan kelompok kecil negara maju yang punya kuasa dan kekayaan. Agama bernama demokrasi dan ekonomi bebas dijadikan wahyu untuk menetapkan bagaimana sesuatu sistem ekonomi sesebuah negara itu patut dilaksanakan. Hakikatnya, hasil mahsul sesebuah negara itulah yang diburu.

Bumi, yang dulunya indah permai dan dihampari kehijauan alam dan kepelbagaian hidupan lain, kini semakin terpokah dek kerakusan nafsu manusia. Atas nama pembangunan yang disinonimkan dengan kemakmuran, tanah-tanah pertanian, gunung-ganang dan hutan hijau dimusnahkan. Sumber-sumber percuma itu diletakkan harga dan dilelongkan kepada mereka yang berselimutkan emas.

Tanpa sedar, manusia-manusia yang gagal bersaing atau mereka yang hanya mahu menikmati hidup ini seadanya, dihambat menghuni ceruk kota yang kotor atau menginap di sudut pedalaman mundur. Inikah kemakmuran yang dibangunkan manusia bertamadun hari ini?

Saya, ketika menulis artikel ini, berada di tengah-tengah hutan batu yang dikelilingi pokok-pokok konkrit. Ah, kebetulan pula saya dihiburkan dengan 'Imagine', karya agung si genius muzik dari tanah Inggeris, John Lennon. Bagaimana kalau dunia ini tiada negara?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

#13 Teropong Jauh: Ando, mi segera dan falsafah

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual sekitar Semenanjung Malaya. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

BERBANDING bintang pop, Justin Bieber dan Lady Gaga, tidak ramai yang kenal Momofuku Ando, walhal dalam dunia moden hari ini adalah mustahil menemukan manusia yang tidak pernah menjamah produk makanan legasinya, mi segera. Mungkin dalam kolum kecil ini saya dapat membawa anda mengenali siapa manusia berjiwa besar ini.

Ando dilahirkan dengan nama Wu Pai-fu pada 1910 di Chiayi, Taiwan, yang ketika itu menjadi sebahagian daripada Empayar Jepun. Ini bermakna beliau bukanlah berdarah Jepun tulen, sama seperti penduduk Jawa yang berhijrah mencari rezeki di Tanah Melayu, tetapi masih dikira serumpun.

Ibu bapanya meninggal dunia ketika kecil dan beliau dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Tainan, Taiwan. Perniagaan tekstil yang diusahakan datuk dan neneknya memberi ilham kepada beliau, yang ketika itu baru berusia 22 tahun, untuk memulakan bisnes dalam bidang sama di Eirakucho, Taipei.

Pada 1933, Ando berhijrah ke Osaka, Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua, beliau mendapat kerakyatan Jepun. Beliau kemudian memutuskan menetap di negara Matahari Terbit itu selepas diterima melanjutkan pengajian di Universiti Ritsumeikan.

Masalah timbul tidak lama selepas itu apabila syarikatnya diisytiharkan bangkrap dan beliau dipenjarakan dua tahun kerana cuba mengelak membayar cukai. Namun, selepas dibebaskan, beliau bangkit semula meneruskan perniagaan yang sudah menjadi darah dagingnya dengan membuka syarikat dikenali sebagai Nissin. Kali ini beliau beralih kepada perniagaan menjual garam.

Ketika Ando menjalankan perniagaan garamnya itu, Jepun berada dalam zaman kemelesetan ekonomi akibat kempen perang dilancarkan rejim Meiji. Krisis kekurangan makanan di Jepun berada dalam keadaan sangat kritikal. Sumber makanan asas, seperti beras yang dijarah ketika menawan China dan negara Asia Tenggara ketika perang lalu nyata tidak cukup menampung keperluan harian rakyat Jepun.

Sebagai langkah mengatasi krisis berkenaan, kerajaan Jepun melancarkan kempen menggalakkan rakyat makan roti yang dibekalkan Amerika Syarikat. Kempen tersebut nyata mengguris hati Ando kerana baginya atas alasan apa sekalipun roti tidak sepatutnya dijadikan alternatif menggantikan makanan tradisi rakyat Jepun, iaitu mi dan beliau melihat ia sebagai satu bentuk penjajahan Barat terhadap penduduk negaranya.

Reaksi daripada kempen itu, Ando bangkit mencipta mi segera dengan memegang falsafah yang cukup murni, 'Peace will come to the world when the people have enough to eat' (dunia akan aman apabila manusia cukup makan).

Klimaksnya, tepat 25 Ogos 1958, ketika berusia 48 tahun dan selepas menjalani beberapa fasa 'cuba dan salah' untuk menghasilkan mi dengan kaedah cepat dimasak, Ando akhirnya berjaya memasarkan pakej mi segera perasa ayam, dipanggil Chikin Ramen pada harga 35 yen saja, tiga kali lebih murah berbanding semangkuk mi yang biasa dijual di mana-mana restoran Jepun ketika itu.

Di sini, apakah kita sedar falsafah sebenar mi segera yang digagaskan Ando bukanlah 'mi untuk segera mati'? Sebaliknya, bertujuan mengatasi masalah kebuluran di negaranya sendiri dengan mengekal nilai patriotisme bangsa yang ada dalam satu-satu makanan tradisi.

Kawan, lihatlah, betapa legasi jujur ditinggalkan Ando itu kekal zaman berzaman. Makanan itulah menjadi penyelamat golongan marhaen yang kesempitan wang untuk makan dan apabila bencana menimpa, selain mi segera, apakah ada makanan lain yang paling mudah disumbangkan?

Dan saya tertanya-tanya, bilakah nasi lemak kita mampu mengamankan dunia ketika jumlah bilis dan telur dalam sepinggan nasi semakin mengecil kuantitinya?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

#12 Teropong Jauh: Seks dan orang kita

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Semenanjung Malaya. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

DALAM masyarakat Melayu, seks adalah kata tabu. Pantang diucap dan diperkatakan secara terbuka. Dulu, saya dan juga rakan-rakan, yang lahir era 80-an, biasanya akan belajar pendidikan seks melalui rakan-rakan dan bahan bacaan, sama ada bergambar atau bertulis. Semuanya dilakukan secara cakap siang pandang-pandang dan cakap malam dengar-dengar.

Tetapi, anak muda zaman sekarang lebih bertuah kerana ada profesor 'Google' di universiti Internet yang membantu mereka memberi kuliah tentang pendidikan seks dengan lebih pantas. Cuma klik saja tetikus atau butang 'Enter', maka terpaparlah segala maklumat yang tepat, separa tepat dan tidak tepat.

Namun, dek gejolak nafsu remaja, proses pembelajaran sehala bersama profesor maya itu biasanya menyimpang. Daripada satu kata kunci saja, bertulis seks, mereka senang saja berpoya-poya ke laman-laman web porno. Sudahnya, seks digambarkan sesuatu yang lucah dan berkisar tentang persoalan syahwat atau nafsu berkelamin semata-mata.

Persoalannya, apakah wajar anak-anak muda kita dibiarkan berguru dengan profesor Google saja? Walhal, seks itu adalah sebahagian daripada fungsi anatomi tubuh manusia. Ia dicetuskan kelenjar hormon yang dirangsang secara fizikal sama ada menerusi pandangan, sentuhan dan apa saja faktor fizikal lain.

Apa yang menjadi isu di sini ialah bagaimana menjelaskan kepada anak-anak muda kita, termasuk anak kecil kita mengenai perihal mengawal kehendak seksual mereka. Pakar psikologi seperti Sigmund Freud mengaitkan aspek seksual sebagai libido, iaitu kehendak seksual berupa tenaga yang dipanggil id.

Menurutnya, id adalah struktur bawah sedar terbesar dalam jiwa atau psyche manusia, di mana ia mampu menyebabkan konflik dengan sikap seseorang individu. Justeru, sekatan melampau terhadap kehendak id jika gagal dikekang akan menyebabkan berlakunya ledakan psikologi yang mampu mengheret kepada gejala sosial dan jenayah.

Kita barangkali hairan melihat banyak kes yang dipaparkan di media mengenai serangan atau pencabulan seksual. Rata-ratanya dilakukan oleh golongan kelas bawah yang kita sedia maklum mengenai ketidakupayaan mereka mendapat akses tepat mengenai seks. Lebih menyedihkan, si pemangsa bukannya calang-calang orang melainkan individu yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga anak dan jagaan mereka. Sesetengahnya berstatus orang-orang agama.

Kenapa ini berlaku? Dan kita, sama seperti manusia tipikal lain, biasanya akan mengecam dan melaknat mereka tujuh keturunan. Namun, pernahkah kita melihat persekitaran sosial mereka. Rumah yang mereka duduki, sesuai dan selamatkah ia untuk mereka membesar tanpa sebarang dorongan seksual melampau? Masyarakat di sekeliling bagaimana pula? Ini kerana seks bukan sekadar membabitkan kesan dan akibat, tetapi juga faktor pendorong dan pencetus.

Sudah bertimbun hujah demi hujah dikeluarkan, tetapi pelaksanaan pendidikan seks kita di mana? Ke mana pergi silibus dan garis panduan yang kononnya akan dibentang dan digubal? Seks bukan perkara baru kerana ia sudah dikaji sejak beribu-ribu tahun lamanya. Tiada sesiapa pun yang dapat menafikan fakta ini.

Kenapa perlu pedulikan kumpulan penentang yang ambil mudah dengan menghumban segala persoalan seks kepada guru-guru agama? Saya tidak mempertikaikan agama, cuma kesediaan mereka memjelaskan tentang seks kepada golongan muda kita.

Maaf cakap, ketika di sekolah dulu, tanda tanya dan misteri seks manusia yang tidak difahami saya banyak diselesaikan oleh guru-guru sains dan biologi. Namun, guru-guru agama saya, lebih suka bercakap mengenai dosa dan pahala serta mengeluarkan ucapan nakal berbaur seksual apabila masuk bab perkahwinan dan rumah tangga. Alahai.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

#11 Teropong Jauh: Banjir yang penuh ironi

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Semenanjung Malaya. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

BARU-baru ini (Oktober 2010), bumi Malaya gamat dengan cerita tuding-menuding mengenai parti politik mana lebih laju dan cekap menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang melanda saudara-saudara kita di utara tanah air. Tapi sungguh, saya langsung tidak peduli!

Manakan tidak, saya, yang merasakan sendiri pengalaman empat hari empat malam dikepung banjir tanpa bekalan eletrik dan air, tiada masa langsung mahu mengira berapa banyak trak penyelamat mana-mana parti politik datang menghulurkan bantuan. Jangan kata mengira, perasan pun tidak.

Sebetulnya, dua hari sebelum banjir melanda, saya ditugaskan membuat liputan majlis konvokesyen Univeriti Utara Malaysia (UUM) di Sintok. Kebetulan pula tugasan di kampung halaman sendiri, jadi, saya mohon cuti seminggu. Sengaja mahu berlama-lama dengan keluarga, mahu lari dari sibuk di ibu kota.

Sudahnya, rancangan cuti seminggu saya ditakdirkan Ilahi untuk mengharungi sendiri bencana banjir terburuk pernah melanda Alor Setar. Dari jendela kamar, saya lihat air di mana-mana dan rumah kami sekeluarga tidak ubah bagai pulau kecil dikelilingi lautan.

Walaupun bernasib baik kerana air tidak naik ke dalam rumah, tetapi kesulitan akibat bencana yang berlaku begitu terasa. Bukan setakat terpaksa bersabar mengharungi malam yang gelap dan sunyi tanpa cahaya, kami sama saja seperti mangsa banjir lain, apa yang cukup dibimbangkan ialah bekalan makanan dan air minum. Cukupkah hingga banjir surut nanti?

Apabila siang menjengah, gerai dan warung makan dipenuhi warga kota bagai semut menghurung gula. Air mineral dan minuman botol laris bagai pisang goreng panas. Kedai-kedai runcit di kawasan daratan yang masih belum ditenggelami air diserbu. Bekalan mi segera, kopi, teh, susu, gula, baldi (buat menakung air hujan atau air bantuan), lilin, lampu suluh dan bateri menjadi sasaran.

Sesetengah warga yang tidak tahan bergelap dan berpanas nekad keluar mencari mesin generator sebagai habuan menonton TV untuk menghilangkan bosan menjelang malam. Undang-undang jalan raya sudah tiada guna lagi. Di mana-mana saja, penduduk kota dan desa keluar dengan kaki seluar disingsing, dan ada yang berlenggeng, di bahu-bahu jalan. Ada juga memasang khemah, siap berbarbekiu!

Sepanjang empat hari ber'banjir' itu, saya dan ayah bermotosikal ke bandar mencari makanan, sementara ibu pula menanti di rumah. Kereta tidak dapat dibawa keluar ke mana-mana kerana terkandas di garaj. Banjir di hadapan perumahan saya sudah mencecah paras peha.

Apabila malam menyingkap, cahaya lilin menemani kami yang sedang enak menikmati juadah makan malam-mi segera. Kami senang bersembang, bercerita tentang apa saja dan sesekali menyanyi menghiburkan hati yang gundah. Derita yang sekejap ini kadang-kadang menjadi pengikat yang menyatukan kemesraan kami yang semakin direnggangkan masa dan usia.

Selain makan minum dan tiada elektrik, masalah melangsaikan sisa kumuhan dan pepejal juga termasuk dalam perkara yang merisaukan orang ramai. Ini kerana sistem kumbahan bawah tanah dipenuhi air dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Apabila air dipam, air najis akan ditolak keluar dari mangkuk tandas, sekali gus menyebarkan bau kurang enak dan mengotori ruang tandas. Ia juga boleh menjadi punca penyakit berbahaya. Ya, akhirnya stesen minyak, sekolah dan masjid menjadi tempat membuang hajat. Bayangkanlah jika seluruh Alor Setar ditenggelami air, bagaimana?

Masuk hari kelima, banjir mula surut. Tatkala pertama kali melihat daratan, meski dipenuhi lumpur dan selut, tiada ucapan lain yang terungkap di bibir melainkan syukur kami kepada Tuhan. Bukankah Dia sebaik-baik perancang? Bukankah Dia sebaik-baik penolong?

Dan apabila pertama kali menonton TV selepas empat hari ber'cuti', ah, betapa kecewanya saya menyaksikan politikus kita berkelahi dan masing-masing mahu menjadi hero penyelamat.

Sungguh ironi, ketika banjir menyatukan kami sekeluarga, bencana penuh hikmah ini pula memisahkan mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Basikal Pakcik Hepi


Basikal ni aku jumpa ketika asyik makan tengah hari di Restoran Rasamas, Sungai Buloh. Milik seorang pakcik tua berusia lebih kurang lewat 60-an. Dia kelihatan begitu steady sekali memarkir basikal hebatnya dan menapak masuk ke dalam restoran untuk menjamah sepinggan nasi berlauk. Sumpah, cahaya di wajahnya penuh gembira, bahagia. Tiba-tiba dia buatkan aku faham betapa subjektifnya makna gembira dan bahagia. Ia mudah, tak perlu kompromi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

#10 Teropong Jauh: Semiotik Stadium Merdeka

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

SAYA tidaklah mahu mempertikai kewajaran pembinaan menara Warisan Merdeka 100 tingkat bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dengan kos bernilai RM5 bilion. Apatah lagi Perdana Menteri sendiri menegaskan projek bersepadu tersebut ialah rancangan dan cadangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Kerajaan.


Ini bermakna menara itu langsung tiada kaitan dengan wang pemegang amanah melainkan wang keuntungan daripada hasil pelaburan PNB.

Tambahan lagi, ia bertepatan dengan mandat pelaburan diberikan yang menyatakan dengan jelas apa yang PNB boleh dan tidak boleh laburkan. Saya yakin PNB dan Kerajaan ada alasan kukuh untuk merasionalkan pembinaan Menara Warisan.

Namun, dalam ruangan kecil ini, saya cuma ingin menyentuh mengenai aspek semiotik yang secara langsung ada kaitan dengan bangunan tinggi itu yang dirancang dibina di celahan bangunan ikon sejarah negara, Stadium Merdeka.

Di segi terma bahasa, semiotik ialah kajian mengenai proses tanda (semiosis) atau signifikasi dan komunikasi, tanda dan simbol. Secara mudah, ia menjelaskan mengenai kepentingan dimensi antropologikal dalam setiap perkara sains natural, kemanusiaan dan sains sosial. Justeru, sebarang struktur binaan, lama atau baru, memiliki makna semiotik tersendiri.

Apabila mengaitkannya dengan Menara Warisan, saya khuatir kewujudan bangunan pencakar langit itu akan menenggelamkan kesan semiotik Stadium Merdeka yang memiliki signifikasi sejarah yang cukup besar buat rakyat Malaysia.

Di stadium itulah, bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman melaungkan kata keramat 'Merdeka'. Di situ jugalah terlahirnya bintang-bintang sukan negara, terutama dalam arena bola sepak antarabangsa seperti allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan Soh Chin Aun.

Stadium Merdeka bukan sekadar bangunan sejarah yang memberi imej hamparan padang dan tempat duduk bertingkat. Ia sebenarnya membawa imej dam simbol kebebasan dan perpaduan seluruh warga negara ini.

Cukuplah kita mempunyai Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) sebagai bangunan ikon di Kuala Lumpur. Apa perlu lagi bangunan tinggi lain untuk menyainginya. Kalau PNB masih mahu membinanya, tidak adakah kawasan lain lebih sesuai? Mungkin ia boleh dibina sebagai mercu tanda baru di Putrajaya.

Lihat di Paris, apakah Menara Eiffel dikepit oleh deretan bangunan tinggi? Jenguk pula bangunan Colosseum di Rom dan Dataran St Peters di Vatican City, apakah ada binaan moden yang menenggelamkan makna semiotik dan tinggalan sejarah bangunan-bangunan tersebut? Bukankah Stadium Merdeka patut diberikan layanan sama dengan semua binaan itu?

Sepatutnya kawasan sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara dibangunkan sebagai dataran sukan atau riadah di ibu kota. Tidak perlu dibina sebarang kompleks sukan serba mewah, cuma sediakan dataran luas dan kemudah-kemudahan asas beriadah. Selain menjadi tempat warga kota bersantai, dataran itu nanti pastinya memberi peluang anak-anak muda bersukan, bergembira dan melupakan seketika tekanan hidup mereka di ibu kota.

Stadium Merdeka sepatutnya dimakmurkan. Biarkan kaki-kaki rakyat negara ini memijak rumputnya dan biarkan punggung mereka duduk di bangku-bangkunya. Beri peluang mereka membayangkan sendiri detik-detik sejarah kebebasan dan perpaduan yang pernah dikecapi warga tanah merdeka ini. Jangan biarkan stadium ini menjadi tanah perkuburan.

Kawan, mungkinkah saya seorang yang terlalu bernostalgia?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

#9 Teropong Jauh: Di sebalik Islamofobia


Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

ISTILAH Islamofobia kedengaran lagi di media-media Barat. Terbaru, dua pengacara stesen Fox News, Bill O'Reilly dan Brian Kilmeade menyelar penganut Islam berhubung isu pembinaan masjid dekat lokasi insiden 11 September atau Ground Zero. O'Reilly dan Kilmeade dalam rancangan The View mempertikaikan kewajaran pembinaan pusat Islam berhampiran tapak serangan itu dengan mengeluarkan kenyataan, "Muslim bunuh kita pada 11 September."

Di Carolina Selatan, daging babi diletakkan berhampiran laluan masuk sebuah pusat Islam, manakala di Doha, seorang ahli perundangan Perancis mengkritik kerajaan Britain kerana gagal mengharamkan burka di negara berkenaan.

Sesiapa pun penganut Islam pasti melenting dan terguris dengan sikap diskriminasi Barat yang mengaku kononnya merekalah penegak hak asasi manusia paling unggul di planet bumi ini. Sebaliknya, layanan mereka terhadap penganut Islam selepas insiden 11 September pada sembilan tahun lalu jauh berbeza daripada apa yang diperjuangkan. Ada beberapa kes, penganut Sikh turut menghadapi diskriminasi sama hanya kerana mereka ber'serban'. Beza sesuatu agama pun sukar ditentukan, apa lagi yang mahu diharapkan kepada Barat?

Walaupun berulang kali kita cuba menyedarkan betapa Islam itu agama keamanan, tetapi realitinya bukan begitu. Faham Barat, Islam itu agama yang dipenuhi puak-puak ortodoks dan ekstremis yang mahu ber'jihad' menghapuskan penganut agama lain, sekali gus menguasai dunia.

Benarkah apa yang difahami Barat itu? Sudah tentu kita akan menafikan jawapan itu sambil mengecam semula Barat dengan tuduhan sama. Namun, pada masa sama, jika kita melihat realiti yang sedang berlaku di sekeliling kita dan negara-negara Islam lain, apakah kita, selaku umat Islam, memenuhi makna keamanan seperti yang disarankan agama suci ini?

Usah ditanya layanan kita kepada penganut agama lain, bagaimana layanan kita terhadap saudara seagama? Di Timur Tengah, Sunni dan Syiah masih lagi tidak sefahaman. Prasangka dan sengketa yang diheret berabad-abad lama masih lagi gagal dihuraikan walaupun masing-masing mengaku pengikut Nabi Muhammad dan beriman kepada Tuhan yang satu.

Ini belum diambil kira aspek ekonomi dan pendidikan sesama negara Islam yang jurangnya amat jauh berbeza. Negara-negara Islam kaya berterusan menghimpun kekayaan dengan melobi di blok Barat atas dasar mengaut keuntungan peribadi. Sebaliknya, negara-negara Islam miskin pula masih dibiarkan terus melarat dan bergelut dengan konflik saudara yang tidak berkesudahan. Justeru, makna keamanan apa yang mampu kita tonjolkan kepada Barat?

Kita harus sedar reformasi total dalam aspek ekonomi dan pendidikan yang berteraskan ideologi syahadah adalah jawapan kepada segala kekusutan yang dihadapi umat Islam hari ini. Namun, hakikat pahit yang perlu diterima ialah kelompok reformis agama dan ilmuan yang ikhlas mahu mengeluarkan ummah daripada belenggu kejahilan dan kefakiran sering menjadi musuh kepada sang penguasa yang mahu mempertahankan daulah dan kekayaan.

Dan usahlah dihairankan jika marah dan benci kita terhadap Barat cuma dapat dinoktahkan di perhimpunan dan protes bermusim. Tanya pada diri, apakah cukup tekad dan usaha kita untuk membuatkan agama kita dihormati?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

#8 Teropong Jauh: Biarkan si kecil berimaginasi

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

MULA kalam, saintis terkenal, Albert Einstein pernah menyebut, "The true sign of intelligence is not knowledge but imagination."


Penulis terkenal, JK Rowling baru-baru ini membayangkan akan menyambung semula siri novel Harry Potter walaupun semua sedia maklum pengembaraan mengasyikkan Harry dan rakan-rakannya itu sudah berakhir pada edisi ke-7 (Harry Potter and the Deathly Hallow) sejak tiga tahun lalu.

Sebelum filem mengenai kisah budak ajaib yang terkenal dengan ilmu jampi-menjampi itu meletup seluruh dunia, karya asal Rowling dalam versi cetak terlebih dahulu menjadi fenomena di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.

Populariti dikecapi Rowling berpunca daripada budaya membaca yang ditanamkan dalam keluarga Eropah Inggeris. Kita sendiri menonton banyak adegan dalam filem atau drama Hollywood yang memaparkan babak si ibu atau bapa membacakan buku cerita kepada anak mereka sebelum tidur.

Budaya membaca buku cerita itu berterusan sepanjang proses anak-anak membesar kerana ia dianggap proses natural untuk mengajar mereka berfikiran kritis dan kreatif. Namun, berapa ramai keluarga di Malaysia yang meniru budaya baik Barat ini dengan menidurkan anak mereka sambil membacakan buku cerita?

Sebaliknya, apa yang kerap dipaparkan dalam drama tempatan adalah babak bapa memarahi anak kerana menonton televisyen atau kartun. Lebih haru, kononnya menyampai mesej baik, ada drama menunjukkan babak ibu bapa memantau anak mereka menyiapkan kerja sekolah dengan jelingan garang.

Lihatlah, betapa anak-anak kita sejak kecil sudah diajar menjadi dewasa melampaui peringkat usia mereka. Sedangkan proses pemupukan ilmu itu seharusnya berlaku dua hala dan tanpa dipaksa.

Contoh paling mudah boleh diamalkan ialah membacakan buku cerita ketika mereka hendak tidur. Di sini, proses dua hala, iaitu soal jawab antara anak dan ibu bapa bergerak secara responsif. Proses pemahaman ilmu menjadi lebih mudah kerana minda kanak-kanak berada dalam mod santai dan tenang. Justeru, buku-buku cerita berunsur fiksi, terutama yang mempunyai naratif sains amat digalakkan dibaca sebelum mereka tidur.

Melalui cara ini, sel-sel neuron otak kanak-kanak akan dapat berkembang dengan baik secara normal tanpa ada tekanan selain memberi mereka masa tidur yang berkualiti.

Harus diketahui, proses perkembangan neuron tidak sama jika anak-anak itu tidur selepas menyiapkan kerja-kerja sekolah. Ini kerana minda mereka ketika itu berada dalam mod stres. Tambahan lagi jika kerja sekolah itu amat rumit dilangsaikan hingga membuatkan mereka terbayang wajah guru kelas yang bengis lagi menggerunkan.

Sudahnya, stres dan ketakutan itu terbawa-bawa dalam mimpi hingga membawa kepada gejala sleeptalking atau mengigau (bahasa sains: somniloquy). Sebaliknya, kita yang jahil dan naif ini berkata, "Hah, kena sampuk syaitanlah tu! Itulah tidur tak basuh kaki!"

Aduh, fiksi syaitan pula yang dibacakan...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS