RSS

#8 Teropong Jauh: Biarkan si kecil berimaginasi

Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

MULA kalam, saintis terkenal, Albert Einstein pernah menyebut, "The true sign of intelligence is not knowledge but imagination."


Penulis terkenal, JK Rowling baru-baru ini membayangkan akan menyambung semula siri novel Harry Potter walaupun semua sedia maklum pengembaraan mengasyikkan Harry dan rakan-rakannya itu sudah berakhir pada edisi ke-7 (Harry Potter and the Deathly Hallow) sejak tiga tahun lalu.

Sebelum filem mengenai kisah budak ajaib yang terkenal dengan ilmu jampi-menjampi itu meletup seluruh dunia, karya asal Rowling dalam versi cetak terlebih dahulu menjadi fenomena di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.

Populariti dikecapi Rowling berpunca daripada budaya membaca yang ditanamkan dalam keluarga Eropah Inggeris. Kita sendiri menonton banyak adegan dalam filem atau drama Hollywood yang memaparkan babak si ibu atau bapa membacakan buku cerita kepada anak mereka sebelum tidur.

Budaya membaca buku cerita itu berterusan sepanjang proses anak-anak membesar kerana ia dianggap proses natural untuk mengajar mereka berfikiran kritis dan kreatif. Namun, berapa ramai keluarga di Malaysia yang meniru budaya baik Barat ini dengan menidurkan anak mereka sambil membacakan buku cerita?

Sebaliknya, apa yang kerap dipaparkan dalam drama tempatan adalah babak bapa memarahi anak kerana menonton televisyen atau kartun. Lebih haru, kononnya menyampai mesej baik, ada drama menunjukkan babak ibu bapa memantau anak mereka menyiapkan kerja sekolah dengan jelingan garang.

Lihatlah, betapa anak-anak kita sejak kecil sudah diajar menjadi dewasa melampaui peringkat usia mereka. Sedangkan proses pemupukan ilmu itu seharusnya berlaku dua hala dan tanpa dipaksa.

Contoh paling mudah boleh diamalkan ialah membacakan buku cerita ketika mereka hendak tidur. Di sini, proses dua hala, iaitu soal jawab antara anak dan ibu bapa bergerak secara responsif. Proses pemahaman ilmu menjadi lebih mudah kerana minda kanak-kanak berada dalam mod santai dan tenang. Justeru, buku-buku cerita berunsur fiksi, terutama yang mempunyai naratif sains amat digalakkan dibaca sebelum mereka tidur.

Melalui cara ini, sel-sel neuron otak kanak-kanak akan dapat berkembang dengan baik secara normal tanpa ada tekanan selain memberi mereka masa tidur yang berkualiti.

Harus diketahui, proses perkembangan neuron tidak sama jika anak-anak itu tidur selepas menyiapkan kerja-kerja sekolah. Ini kerana minda mereka ketika itu berada dalam mod stres. Tambahan lagi jika kerja sekolah itu amat rumit dilangsaikan hingga membuatkan mereka terbayang wajah guru kelas yang bengis lagi menggerunkan.

Sudahnya, stres dan ketakutan itu terbawa-bawa dalam mimpi hingga membawa kepada gejala sleeptalking atau mengigau (bahasa sains: somniloquy). Sebaliknya, kita yang jahil dan naif ini berkata, "Hah, kena sampuk syaitanlah tu! Itulah tidur tak basuh kaki!"

Aduh, fiksi syaitan pula yang dibacakan...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: