RSS

#2 Teropong Jauh: Perpaduan Fatah, Hamas masih kabur


Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di pasaran arus perdana. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..

PENDIRIAN Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berhubung isu Timur Tengah selepas insiden serangan ke atas konvoi bantuan ke Gaza dalam laporan berita laman web akhbar tertua Israel, Haaretz pada pertengahan Jun lalu begitu mengejutkan. Menurut Haaretz, Mahmoud dilaporkan memberitahu Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bahawa beliau menentang desakan supaya sekatan laluan laut ke Genting Gaza ditarik balik.

Mahmoud ketika bertemu Obama di Rumah Putih ketika itu mendakwa penarikan sekatan tidak sepatutnya dibuat sekarang kerana ia hanya akan memberi ruang kepada Hamas untuk meningkatkan keupayaan mereka, sesuatu yang ditakuti Washington dan sekutunya, Tel Aviv.

Lebih menyedihkan, pendirian Mahmoud itu turut disokong Mesir yang sekian lama menutup laluan sempadan ke Gaza. Walaupun kebenaran laporan tersebut mungkin boleh dipertikaikan, timbul beberapa persoalan mengenai pendirian sebenar Mahmoud dalam mencapai perdamaian di Timur Tengah tanpa mengetepikan hak dan aspirasi rakyat Palestin.

Ketika penduduk Gaza dihimpit kemelaratan, Mahmoud masih mahu meraih simpati Washington dalam menangani kemelut di rantau itu. Apakah beliau lupa struktur media dan pentadbiran AS sendiri sudah lama menjadi proksi kuat kerajaan Tel Aviv sejak tragedi Nakba yang menyaksikan tertubuhnya negara Yahudi dalam tanah air penduduk Palestin?

Obama mungkin bercita-cita besar dalam mewujudkan perdamaian di Timur Tengah, tetapi sejarah membuktikan tiada seorang pun Presiden AS berjaya mencari penyelesaian muktamad di rantau bergolak itu sejak lebih 50 tahun lalu.

Jika Barat dapat menumbangkan kuasa Nazi di Jerman selepas 12 tahun ia berkuasa, di manakah kuasa mereka ketika menangani pencerobohan rejim Zionis di bumi Palestin? Jadi, simpati dan rayuan apa lagi yang mahu diharapkan Mahmoud daripada Obama?

Umat Islam sebenarnya menanti perpaduan total antara Hamas dan Fatah. Hanya itulah kuasa pendesak yang mampu menggerunkan Israel dan mewujudkan keamanan di rantau itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komen: