#13 Teropong Jauh: Ando, mi segera dan falsafah
BERBANDING bintang pop, Justin Bieber dan Lady Gaga, tidak ramai yang kenal Momofuku Ando, walhal dalam dunia moden hari ini adalah mustahil menemukan manusia yang tidak pernah menjamah produk makanan legasinya, mi segera. Mungkin dalam kolum kecil ini saya dapat membawa anda mengenali siapa manusia berjiwa besar ini.
Ando dilahirkan dengan nama Wu Pai-fu pada 1910 di Chiayi, Taiwan, yang ketika itu menjadi sebahagian daripada Empayar Jepun. Ini bermakna beliau bukanlah berdarah Jepun tulen, sama seperti penduduk Jawa yang berhijrah mencari rezeki di Tanah Melayu, tetapi masih dikira serumpun.
Ibu bapanya meninggal dunia ketika kecil dan beliau dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Tainan, Taiwan. Perniagaan tekstil yang diusahakan datuk dan neneknya memberi ilham kepada beliau, yang ketika itu baru berusia 22 tahun, untuk memulakan bisnes dalam bidang sama di Eirakucho, Taipei.
Pada 1933, Ando berhijrah ke Osaka, Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua, beliau mendapat kerakyatan Jepun. Beliau kemudian memutuskan menetap di negara Matahari Terbit itu selepas diterima melanjutkan pengajian di Universiti Ritsumeikan.
Masalah timbul tidak lama selepas itu apabila syarikatnya diisytiharkan bangkrap dan beliau dipenjarakan dua tahun kerana cuba mengelak membayar cukai. Namun, selepas dibebaskan, beliau bangkit semula meneruskan perniagaan yang sudah menjadi darah dagingnya dengan membuka syarikat dikenali sebagai Nissin. Kali ini beliau beralih kepada perniagaan menjual garam.
Ketika Ando menjalankan perniagaan garamnya itu, Jepun berada dalam zaman kemelesetan ekonomi akibat kempen perang dilancarkan rejim Meiji. Krisis kekurangan makanan di Jepun berada dalam keadaan sangat kritikal. Sumber makanan asas, seperti beras yang dijarah ketika menawan China dan negara Asia Tenggara ketika perang lalu nyata tidak cukup menampung keperluan harian rakyat Jepun.
Sebagai langkah mengatasi krisis berkenaan, kerajaan Jepun melancarkan kempen menggalakkan rakyat makan roti yang dibekalkan Amerika Syarikat. Kempen tersebut nyata mengguris hati Ando kerana baginya atas alasan apa sekalipun roti tidak sepatutnya dijadikan alternatif menggantikan makanan tradisi rakyat Jepun, iaitu mi dan beliau melihat ia sebagai satu bentuk penjajahan Barat terhadap penduduk negaranya.
Reaksi daripada kempen itu, Ando bangkit mencipta mi segera dengan memegang falsafah yang cukup murni, 'Peace will come to the world when the people have enough to eat' (dunia akan aman apabila manusia cukup makan).
Klimaksnya, tepat 25 Ogos 1958, ketika berusia 48 tahun dan selepas menjalani beberapa fasa 'cuba dan salah' untuk menghasilkan mi dengan kaedah cepat dimasak, Ando akhirnya berjaya memasarkan pakej mi segera perasa ayam, dipanggil Chikin Ramen pada harga 35 yen saja, tiga kali lebih murah berbanding semangkuk mi yang biasa dijual di mana-mana restoran Jepun ketika itu.
Di sini, apakah kita sedar falsafah sebenar mi segera yang digagaskan Ando bukanlah 'mi untuk segera mati'? Sebaliknya, bertujuan mengatasi masalah kebuluran di negaranya sendiri dengan mengekal nilai patriotisme bangsa yang ada dalam satu-satu makanan tradisi.
Kawan, lihatlah, betapa legasi jujur ditinggalkan Ando itu kekal zaman berzaman. Makanan itulah menjadi penyelamat golongan marhaen yang kesempitan wang untuk makan dan apabila bencana menimpa, selain mi segera, apakah ada makanan lain yang paling mudah disumbangkan?
Dan saya tertanya-tanya, bilakah nasi lemak kita mampu mengamankan dunia ketika jumlah bilis dan telur dalam sepinggan nasi semakin mengecil kuantitinya?
#12 Teropong Jauh: Seks dan orang kita
DALAM masyarakat Melayu, seks adalah kata tabu. Pantang diucap dan diperkatakan secara terbuka. Dulu, saya dan juga rakan-rakan, yang lahir era 80-an, biasanya akan belajar pendidikan seks melalui rakan-rakan dan bahan bacaan, sama ada bergambar atau bertulis. Semuanya dilakukan secara cakap siang pandang-pandang dan cakap malam dengar-dengar.
Tetapi, anak muda zaman sekarang lebih bertuah kerana ada profesor 'Google' di universiti Internet yang membantu mereka memberi kuliah tentang pendidikan seks dengan lebih pantas. Cuma klik saja tetikus atau butang 'Enter', maka terpaparlah segala maklumat yang tepat, separa tepat dan tidak tepat.
Namun, dek gejolak nafsu remaja, proses pembelajaran sehala bersama profesor maya itu biasanya menyimpang. Daripada satu kata kunci saja, bertulis seks, mereka senang saja berpoya-poya ke laman-laman web porno. Sudahnya, seks digambarkan sesuatu yang lucah dan berkisar tentang persoalan syahwat atau nafsu berkelamin semata-mata.
Persoalannya, apakah wajar anak-anak muda kita dibiarkan berguru dengan profesor Google saja? Walhal, seks itu adalah sebahagian daripada fungsi anatomi tubuh manusia. Ia dicetuskan kelenjar hormon yang dirangsang secara fizikal sama ada menerusi pandangan, sentuhan dan apa saja faktor fizikal lain.
Apa yang menjadi isu di sini ialah bagaimana menjelaskan kepada anak-anak muda kita, termasuk anak kecil kita mengenai perihal mengawal kehendak seksual mereka. Pakar psikologi seperti Sigmund Freud mengaitkan aspek seksual sebagai libido, iaitu kehendak seksual berupa tenaga yang dipanggil id.
Menurutnya, id adalah struktur bawah sedar terbesar dalam jiwa atau psyche manusia, di mana ia mampu menyebabkan konflik dengan sikap seseorang individu. Justeru, sekatan melampau terhadap kehendak id jika gagal dikekang akan menyebabkan berlakunya ledakan psikologi yang mampu mengheret kepada gejala sosial dan jenayah.
Kita barangkali hairan melihat banyak kes yang dipaparkan di media mengenai serangan atau pencabulan seksual. Rata-ratanya dilakukan oleh golongan kelas bawah yang kita sedia maklum mengenai ketidakupayaan mereka mendapat akses tepat mengenai seks. Lebih menyedihkan, si pemangsa bukannya calang-calang orang melainkan individu yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga anak dan jagaan mereka. Sesetengahnya berstatus orang-orang agama.
Kenapa ini berlaku? Dan kita, sama seperti manusia tipikal lain, biasanya akan mengecam dan melaknat mereka tujuh keturunan. Namun, pernahkah kita melihat persekitaran sosial mereka. Rumah yang mereka duduki, sesuai dan selamatkah ia untuk mereka membesar tanpa sebarang dorongan seksual melampau? Masyarakat di sekeliling bagaimana pula? Ini kerana seks bukan sekadar membabitkan kesan dan akibat, tetapi juga faktor pendorong dan pencetus.
Sudah bertimbun hujah demi hujah dikeluarkan, tetapi pelaksanaan pendidikan seks kita di mana? Ke mana pergi silibus dan garis panduan yang kononnya akan dibentang dan digubal? Seks bukan perkara baru kerana ia sudah dikaji sejak beribu-ribu tahun lamanya. Tiada sesiapa pun yang dapat menafikan fakta ini.
Kenapa perlu pedulikan kumpulan penentang yang ambil mudah dengan menghumban segala persoalan seks kepada guru-guru agama? Saya tidak mempertikaikan agama, cuma kesediaan mereka memjelaskan tentang seks kepada golongan muda kita.
Maaf cakap, ketika di sekolah dulu, tanda tanya dan misteri seks manusia yang tidak difahami saya banyak diselesaikan oleh guru-guru sains dan biologi. Namun, guru-guru agama saya, lebih suka bercakap mengenai dosa dan pahala serta mengeluarkan ucapan nakal berbaur seksual apabila masuk bab perkahwinan dan rumah tangga. Alahai.
#11 Teropong Jauh: Banjir yang penuh ironi
BARU-baru ini (Oktober 2010), bumi Malaya gamat dengan cerita tuding-menuding mengenai parti politik mana lebih laju dan cekap menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang melanda saudara-saudara kita di utara tanah air. Tapi sungguh, saya langsung tidak peduli!
Basikal Pakcik Hepi
#10 Teropong Jauh: Semiotik Stadium Merdeka
Teropong Jauh adalah kolum khas aku yang bermula edisi ke-2 dalam akhbar Transisi terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diterbitkan secara dwi mingguan serta dijual di sekitar Lembah Klang dan Kedah. Tulisan di blog ini adalah siar semula tulisan itu untuk dijadikan arkib peribadi. Disebabkan kolum kecil tersebut terletak dalam bahagian Global, pastinya artikel yang ditulis akan banyak menyentuh tentang isu-isu antarabangsa. Ia kolum tentang buah fikiran dan pendapat peribadi aku mengenai apa saja yang aku rasa patut dipuji, dikritik dan dikeji tentang dunia seputar aku. Sesekali aku cuba kaitkan isu luar negara dengan isu lokal juga. Teropong jauh katakan..
SAYA tidaklah mahu mempertikai kewajaran pembinaan menara Warisan Merdeka 100 tingkat bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dengan kos bernilai RM5 bilion. Apatah lagi Perdana Menteri sendiri menegaskan projek bersepadu tersebut ialah rancangan dan cadangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Kerajaan.








