BARU-baru ini (Oktober 2010), bumi Malaya gamat dengan cerita tuding-menuding mengenai parti politik mana lebih laju dan cekap menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang melanda saudara-saudara kita di utara tanah air. Tapi sungguh, saya langsung tidak peduli!
Manakan tidak, saya, yang merasakan sendiri pengalaman empat hari empat malam dikepung banjir tanpa bekalan eletrik dan air, tiada masa langsung mahu mengira berapa banyak trak penyelamat mana-mana parti politik datang menghulurkan bantuan. Jangan kata mengira, perasan pun tidak.
Sebetulnya, dua hari sebelum banjir melanda, saya ditugaskan membuat liputan majlis konvokesyen Univeriti Utara Malaysia (UUM) di Sintok. Kebetulan pula tugasan di kampung halaman sendiri, jadi, saya mohon cuti seminggu. Sengaja mahu berlama-lama dengan keluarga, mahu lari dari sibuk di ibu kota.
Sudahnya, rancangan cuti seminggu saya ditakdirkan Ilahi untuk mengharungi sendiri bencana banjir terburuk pernah melanda Alor Setar. Dari jendela kamar, saya lihat air di mana-mana dan rumah kami sekeluarga tidak ubah bagai pulau kecil dikelilingi lautan.
Walaupun bernasib baik kerana air tidak naik ke dalam rumah, tetapi kesulitan akibat bencana yang berlaku begitu terasa. Bukan setakat terpaksa bersabar mengharungi malam yang gelap dan sunyi tanpa cahaya, kami sama saja seperti mangsa banjir lain, apa yang cukup dibimbangkan ialah bekalan makanan dan air minum. Cukupkah hingga banjir surut nanti?
Apabila siang menjengah, gerai dan warung makan dipenuhi warga kota bagai semut menghurung gula. Air mineral dan minuman botol laris bagai pisang goreng panas. Kedai-kedai runcit di kawasan daratan yang masih belum ditenggelami air diserbu. Bekalan mi segera, kopi, teh, susu, gula, baldi (buat menakung air hujan atau air bantuan), lilin, lampu suluh dan bateri menjadi sasaran.
Sesetengah warga yang tidak tahan bergelap dan berpanas nekad keluar mencari mesin generator sebagai habuan menonton TV untuk menghilangkan bosan menjelang malam. Undang-undang jalan raya sudah tiada guna lagi. Di mana-mana saja, penduduk kota dan desa keluar dengan kaki seluar disingsing, dan ada yang berlenggeng, di bahu-bahu jalan. Ada juga memasang khemah, siap berbarbekiu!
Sepanjang empat hari ber'banjir' itu, saya dan ayah bermotosikal ke bandar mencari makanan, sementara ibu pula menanti di rumah. Kereta tidak dapat dibawa keluar ke mana-mana kerana terkandas di garaj. Banjir di hadapan perumahan saya sudah mencecah paras peha.
Apabila malam menyingkap, cahaya lilin menemani kami yang sedang enak menikmati juadah makan malam-mi segera. Kami senang bersembang, bercerita tentang apa saja dan sesekali menyanyi menghiburkan hati yang gundah. Derita yang sekejap ini kadang-kadang menjadi pengikat yang menyatukan kemesraan kami yang semakin direnggangkan masa dan usia.
Selain makan minum dan tiada elektrik, masalah melangsaikan sisa kumuhan dan pepejal juga termasuk dalam perkara yang merisaukan orang ramai. Ini kerana sistem kumbahan bawah tanah dipenuhi air dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Apabila air dipam, air najis akan ditolak keluar dari mangkuk tandas, sekali gus menyebarkan bau kurang enak dan mengotori ruang tandas. Ia juga boleh menjadi punca penyakit berbahaya. Ya, akhirnya stesen minyak, sekolah dan masjid menjadi tempat membuang hajat. Bayangkanlah jika seluruh Alor Setar ditenggelami air, bagaimana?
Masuk hari kelima, banjir mula surut. Tatkala pertama kali melihat daratan, meski dipenuhi lumpur dan selut, tiada ucapan lain yang terungkap di bibir melainkan syukur kami kepada Tuhan. Bukankah Dia sebaik-baik perancang? Bukankah Dia sebaik-baik penolong?
Dan apabila pertama kali menonton TV selepas empat hari ber'cuti', ah, betapa kecewanya saya menyaksikan politikus kita berkelahi dan masing-masing mahu menjadi hero penyelamat.
Sungguh ironi, ketika banjir menyatukan kami sekeluarga, bencana penuh hikmah ini pula memisahkan mereka.